Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu, yang memulakan perlumbaan dari petak ketujuh, menamatkan 13 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 28 minit, 57.346 saat untuk berada di belakang pelumba Australia, Anthony West (Ake­no Speed Racing) yang memenangi perlumbaan dengan masa 28:56.056s. Yuki Ito yang pada satu ketika mendahului perlumbaan terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan hanya dibezakan 0.084s.

Seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) yang memulakan perlumbaan dari petak kedua sekadar tamat di kedudukan keempat dengan masa 28:57.663s meskipun berjaya mendahului kedudukan pada awal perlumbaan.

Bagi Zaqhwan, dia berpuas hati dengan kemenangan ini namun sedikit kecewa kerana gagal memungut lebih banyak mata untuk merapatkan jurang dengan kedudukan pendahulu.

“Perlumbaan hari ini sangat menarik dan sengit. Semua pelumba kelompok hadapan memberikan saingan sengit dan saling bertukar kedudukan. Setiap kesilapan yang dilakukan akan digunakan oleh pelumba lain untuk berada di hadapan. Walaupun ber­aksi dengan kaki yang tercedera, saya masih mampu memberikan aksi terbaik.

“Podium pada hari ini juga merupakan podium pertama saya di Litar Suzuka sepanjang saingan ARRC. Saya bersyukur dan berharap dapat memperoleh keputusan lebih baik pada Perlumbaan 2, esok,” katanya yang naik ke anak tangga kedua keseluruhan dengan 70 mata.

Azlan Shah kekal mendahului kedudukan ke­seluruhan dengan me­ngumpul 96 mata manakala Taiga Hada (Rama Honda) yang tamat di tempat keenam turun ke tempat ketiga dengan 65 mata.

Dalam saingan Asia Production 250cc, pelumba Indonesia, Gerry Salim (Astra Honda Racing) meraih kemenangan keempat dari lima perlumbaan untuk mendahului senarai keseluruhan dengan 100 mata.

Gerry menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa 20’01.909s mengatasi pencabar utama, Takehiro Yamamoto (Sindrap Honda Ikazuchi) yang berada di tangga kedua dengan masa 20’01.978s. Tempat ketiga milik Tomoyoshi Koyama (Rama Honda) dengan masa 20’02.415s.

Gerry mendahului kedudukan keseluruhan dengan 100 mata diikuti Yamamoto dengan 94 mata dan rakan sepasukan Gerry, Rheza Danica Ahrens ketiga dengan 73 mata.

Sementara itu, dalam saingan Underbone 150cc, pelumba negara, Md. Akid Aziz kekal berada di tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 85 mata setelah muncul naib juara pada Perlumbaan 1 dengan masa 16:05.358s. Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) muncul juara dengan masa 16:05.294s dan berada di tempat kedua keseluruhan dengan 70 mata.

Rakan sepasukan Akid, Md Haziq Fairues melengkapkan kedudukan podium dengan masa 16:06.228s untuk naik kekedudukan keempat keseluruhan dengan 57 mata. Tempat ketiga milik Md. Izzat Zaidi Salehan (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang) yang menamatkan perlumbaan di anak tangga keenam dengan 61 mata.