Daripada seorang pelumba yang memerlukan pengurus pasukan Herve Poncharal untuk melobi agar penaja menaruh keyakinan terhadap kebolehan pelumba dari Ampang, Selangor itu yang menandatangani kontrak setahun pada saat-saat akhir sebelum musim ini bermula, Hafizh telah membuktikan dia mampu bersaing apabila kini menduduki tempat ke-16 dalam senarai pelumba dengan 17 mata selepas enam perlumbaan.

Hafizh yang mengesahkan sendiri pemeteraian kontrak baharunya itu bagaimanapun berkata pasukannya beralih untuk bekerjasama dengan KTM pada tahun depan, berbanding Yamaha musim ini.

Katanya, amat sukar untuknya menterjemahkan dengan kata-kata dan mempercayai berita gembira yang diterimanya itu.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kepada Herve kerana percaya kepada saya dan terus memberikan peluang untuk kekal bersama keluarga Tech3 dan dalam masa sama menyertai keluarga KTM.

“Saya juga mahu menyampaikan ucapan terima kasih kepada pengurus saya, Datuk Razlan Razali (Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang), yang telah membantu saya mengejar impian untuk beraksi dalam kelas utama MotoGP,” katanya dalam akaun Facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao hari ini.

Pelumba berusia 24 tahun itu turut berterima kasih kepada KTM kerana percaya dengan Poncharal dan dirinya selaku penunggang pasukan.

“Saya akan bekerja keras untuk 2019 dan terus melakukan persediaan yang lebih rapi kerana berita ini bukanlah kejutan besar seperti mana yang saya alami musim ini. Saya amat gembira kerana mendapat peluang ini. Saya hampir mengalirkan air mata kerana ke­gembiraan,” ujar pelumba pertama Malaysia bersaing dalam MotoGP.

Pada tahun depan, Hafizh bakal bergandingan dengan rakan sepasukan baharu iaitu pelumba Portugal, Miguel Oliveira yang kini bersaing dalam kelas Moto2.

Poncharal dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan berkata, hari ini merupakan hari yang istimewa buat dirinya dan seluruh pasukan Tech 3.

“Sejak Hafizh menyertai MotoGP, ibarat bermimpi pada setiap hari kerana dia merupakan seorang pelumba yang sangat laju, malah lebih pantas berban­ding yang dijangkakan segelintir pihak. Saya sedar ini merupakan pencapaian hebat buat Malaysia kerana dia merupakan pelumba pertama beraksi dalam kelas utama ini.

“Hafizh berjaya membuktikan potensi yang ada dalam dirinya dengan mengutip mata dan beraksi konsisten bagi memburu kedudukan sebagai pendatang baharu terbaik. Hafizh mempu­nyai perwatakan yang istimewa.

“Sejak hari pertama lagi, saya memang berhajat untuk me­nyambung kontraknya, kerana tahun pertama merupakan pro­ses pembelajaran dan tahun kedua lebih penting kerana dia perlu membuktikan kemampuan sebenarnya,” kata Poncharal.