Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali turut mengakui hakikat tersebut dan pihaknya bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai peminat di Sepang.

“Kami sudah bersedia. Pihak kami akan sediakan kemudahan jualan trak makanan, tempat letak kereta yang lebih dekat dan kawalan keselamatan yang tinggi, namun, tiada sebarang tiket dikenakan kepada penonton melainkan mereka mahu masuk paddock.

RAZLAN RAZALI
RAZLAN RAZALI 

“Saya tidak pasti berapa bilangan pe­ngunjung nanti, tapi yakin lebih ramai berbanding sebelum ini. Boleh dikatakan seperti kejohanan mini MotoGP,” katanya kepada pembe­rita selepas pengumuman Majlis Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC MAM 2018.

Selepas ujian rasmi di SIC, sesi ujian terakhir akan diadakan di Qatar pada 23 hingga 25 Februari ini, sebelum perlumbaan pembukaan musim di Litar Antarabangsa Losail bermula 8 hingga 10 Mac ini. Pasukan pertama MotoGP negara, SRT akan diwakili pelumba Itali, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo dari Perancis.

Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC MAM 2018 yang kini masuk edisi ketiga, Razlan memberitahu, sebanyak 14 kategori dipertandingkan termasuk dua anugerah baharu iaitu Anugerah Atlet Sukan Pemotoran Wanita Harapan dan Atlet Terbaik Sukan Pemotoran Elektronik SIC.

Beliau berkata, anugerah itu diwujudkan khas untuk memberi pengiktirafan kepada atlet yang terlibat dengan sukan permotoran.

“Pemilihan calon setiap tahun sukar. Ramai yang berkelayakan jadi agak susah untuk panel pemilihan buat keputusan. Boleh dikatakan lebih daripada 20 pencalonan diterima bagi setiap kategori,” katanya. 
 Selain itu, pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin turut dicalonkan dalam kategori Pelumba Terbaik Antarabangsa Petronas bersama Azlan Shah Kamaruzaman (ARRC), Habibullah Mohd Salleh (FIM Asia Supermoto), Danial Syahmi Shahril (ATC) dan Muhammad Helmi Azman (ARRC).