Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali selepas melihat prestasi pelumba negara se­perti Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin yang baik ketika litar kering, semalam.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin yang mewakili pasukan Petronas Raceline Malaysia menamatkan perlumbaan di tempat keenam selepas bermula di petak ke-11.

Adam yang beraksi dalam kelas Moto3 bersama SIC Ra­cing Team hampir menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik sebelum masalah teknikal jentera yang menyebabkan dia me­raih tempat ke-11.

Kata Razlan, berdasarkan ­prestasi dipamerkan dua pelumba tersebut dia yakin mereka mampu melakar keputusan lebih baik pada musim depan.

“Adam memulakan aksi dengan baik dalam cuaca kering dan ini membuktikan mereka meningkat dan cuma perlu bersabar.

“Ya saya akui jika beraksi dalam hujan akan memberikan kelebihan buat pelumba Malaysia berbanding pelumba lain namun kini wakil negara yang ada sudah mampu memberi saingan kepada jaguh-jaguh dunia lain,” kata Razlan selepas tamat Grand Prix Motosikal Malaysia, semalam.

Dua lagi pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin yang beraksi dalam kelas Moto3 bersama Petronas Sprinta Racing dan Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) dalam aksi kelas Moto2 gagal menamatkan perlumbaan.

Perlumbaan Moto3 dan Moto2 berlangsung dalam cuaca panas sebelum hujan sewaktu aksi MotoGP.

Dalam perlumbaan semalam, Franco Morbidelli yang dinobat sebagai juara Moto2 dunia selepas pencabar terdekatnya Thomas Luthi membuat keputusan tidak beraksi ke­rana kecederaan sewaktu sesi kelayakan pada Sabtu.

Bagi saingan MotoGP, hajat Marc Marquez mahu mengesahkan kejuaraan dunia di Sepang tidak kesampaian apabila Andrea Dovizioso muncul pemenang Grand Prix Malaysia.