Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, sehabis boleh pihaknya berusaha untuk mencari pengganti dalam kalangan pelumba Malaysia sendiri, tetapi memandangkan musim 2018 telahpun menyempurnakan empat perlumbaan setakat ini, agak sukar untuk SIC berbuat demikian.

“Kita kena melihat pelbagai pilihan yang ada dan pilihan terakhir ialah menggunakan khidmat pelumba luar. Kita memang kalau boleh hendak gunakan pelumba Malaysia kerana pasukan ini kita bentuk untuk program jangka panjang.

“Kita mahu melahirkan pelumba Malaysia yang kompetitif, tetapi dalam keadaan sekarang agak sukar untuk mendapatkan calon yang mampu mengsisi kekosongan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Zulfahmi mengumumkan pengundurannya daripada Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas Moto2, sekali gus berpisah dengan SIC Racing Team setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.

Selepas mengharungi empat perlumbaan musim ini, Zulfahmi yang pernah beraksi dalam kelas Moto3 dan Kejuaraan Supersport Dunia, membuat keputusan de­ngan sokongan pasukan untuk tidak meneruskan penyertaannya dalam pertandingan kompetitif itu.

Memandangkan perlumbaan akan datang di Le Mans, Pe­rancis akan berlangsung pada 20 Mei ini, Razlan memberitahu, pihaknya perlu bertindak segera bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini seperti penalti kepada pasukan kerana tidak memiliki pelumba untuk bersaing dalam kelas Moto2.

“Kita telah menandatangani kontrak bersama Dorna yang mana berdasarkan perjanjian itu, pasukan perlu menyediakan pelumba untuk setiap pusingan kejuaraan motosikal dunia. Jadi, saya telah meminta SIC Racing Team meneliti perkara ini kerana bimbang jika kita dikenakan pe­nalti,” ujarnya.

Untuk mengelak daripada masalah tersebut berlaku, beliau menjelaskan, pasukan perlu bertindak pantas untuk mencari pengganti Zulfahmi dan sekiranya masih gagal mendapatkan anak tempatan, maka pelumba yang sedang bersaing dalam kejuaraan CEV motosikal Sepanyol merupakan pilihan terbaik buat SIC Racing Team.

“Pelumba yang beraksi dalam CEV merupakan calon paling sesuai untuk menggantikan Zulfahmi. Perlumbaan Moto2 sa­ngat kompetitif, malah Zulfahmi sendiri akur dengan persaingan sengit kelas tersebut. Itu sebab kita kena cari pengganti yang benar-benar berkelayakan,” tegas­nya.