Hafizh, 23, menyifatkan kehadiran Noor Suzana Abdul Manaf sebagai pelengkap hidupnya dan menjadikan dia lebih bersemangat untuk memburu keputusan terbaik dalam perlumbaan moto2 2018.

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu pada Khamis lalu selamat diijabkabul dengan Noor Suzana yang merupakan seorang model muslimah.

Menurut Hafizh, jadual yang begitu padat membuatkan dia memilih majlis yang sederhana tetapi cukup meriah dengan tema tradisional dan dihadiri ahli keluarga kedua belah pasangan serta rakan rapat dan peminat.

“Perubahan status (da­ripada bujang) menjadi suami, bermakna tanggungjawab lebih besar menanti saya selepas ini.

“Saya bukan sahaja akan berlumba bersama pasukan baharu (Petronas Sprinta Racing) tetapi juga berdepan pengalaman baharu sebagai suami,” kata Hafizh.

Bakal beraksi di bawah pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Hafizh akan mengambil bahagian dalam dua sesi ujian musim sejuk di Valencia, Sepanyol pada Februari.

Dia akan diberi motosikal baharu yang lebih baik berbanding 2017, yang menyaksikan dia menamatkan kempen di tangga ke-10 keseluruhan de­ngan pungutan 106 mata selepas dua kali menaiki podium.

Hafizh bakal diberi peluang beraksi dalam sai­ngan MotoGP pada musim 2019 jika menunjukkan ­prestasi yang baik.

Sementara itu, kira-kira 1,000 tetamu hadir meraikan hari istimewa Hafizh hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, pemenang pingat emas Paralimpik Rio, Ziyad Zulkifli; dua pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin dan Adam Norrodin serta pelakon Hairul Azreen.