Pelumba Honda dari Sepanyol itu meraih kemenangan dengan catatan masa 3.5 saat lebih laju berbanding rakan senegara Maverick Vinales (Yamaha) dalam perlumbaan 20 pusingan di Austin, Texas, sementara penunggang Itali, Andrea Iannone (Suzuki) di tempat ketiga.

Marquez merupakan juara lima Grand Prix Amerika yang lalu di Austin, sejak merangkul kemenangan sulungnya dalam perlumbaan MotoGP di trek sama pada 2013.

Pelumba berusia 25 tahun itu memulakan perlumbaan dari grid keempat selepas dikenakan penalti tiga petak ke belakang kerana menunggang terlalu perlahan dan mengganggu Vinales ketika berada di laluan laju sewaktu sesi kelayakan Sabtu lalu.

Marquez melonjak ke kedudukan kedua sebaik sahaja perlumbaan bermula, dan berjaya memacu jenteranya mendahului persaingan sebelum pusingan pertama dilengkapkan dan kekal di kedudukan tersebut hingga tamat.

“Saya memang menyusun strategi untuk memacu laju sebaik sahaja perlumbaan dimulakan.

“Perlumbaan seperti ini tidak normal. Anda tidak boleh menjangkakan dapat mencipta jurang besar di depan,” katanya.

Marquez berkata, dia tidak sihat dan bimbang tidak mampu bertahan untuk terus bersaing hingga perlumbaan berakhir.

Marquez, yang memburu gelaran juara dunia MotoGP kelima dalam kariernya, kini melonjak ke kedudukan kedua keseluruhan setelah mengumpul 45 mata, satu di belakang pendahulu Andrea Dovizioso dari Itali. – AFP