Soalan itu diajukan kepada pelumba Sepanyol tersebut dalam sidang akhbar selepas sesi kelayakan Grand Prix Malaysia 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berakhir hari ini.

Pelumba Honda itu mencipta masa terpantas dua minit 12.161 saat (s) untuk mengungguli aksi kelayakan, tetapi pelumba berusia 25 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan esok dari petak ketujuh kerana dikenakan penalti ekoran tindakannya memperlahankan jenteranya secara tiba-tiba.

Hukuman tersebut meletakkan Johann Zarco dari Perancis melonjak ke kedudukan pertama (2:12.709s), manakala petak kedua menjadi milik legenda Itali, Valentino Rossi (2:13.009s) dan grid ketiga dihuni rakan senegara Rossi, Andrea Iannone (2:13.097s).

Marquez berkata, sukar untuknya memberikan penjelasan yang baik, walaupun dia sering diajukan soalan tersebut oleh pemberita.

“Saya tidak tahu, soalan ini memang sering ditanya kepada saya. Tapi sehingga ke hari ini saya masih tidak ada jawapan.

“Sewaktu perlumbaan, semua yang berlaku adalah spontan. Jika gerak hati menyatakan saya perlu melompat daripada jentera saya akan melakukan tanpa teragak-agak.

“Sekiranya berasakan saya masih mampu mengawal motosikal, biasanya saya memang akan terselamat daripada terbabas. Untuk menjawab bagaimana saya melakukannya, saya sendiri tidak tahu,” kata Marquez sambil tersenyum.

Juara dunia tiga kali berturut-turut itu yang melengkapkan sesi kelayakan di atas trek basah selepas hujan lebat di SIC memberitahu, sebagai pelumba dia juga perlu bijak untuk me­ngawal jenteranya kerana had kelajuan serta penguasaan ter­hadap motosikal jauh berbeza di atas litar basah ataupun ke­ring.

Mengulas mengenai perlumbaan esok, Marquez berkata, dia bertekad untuk memburu kejuaraan di sini, meskipun tidak memiliki rekod pencapaian yang baik di Malaysia.

“Saya akan melakukan apa sahaja untuk menang, lebih-le­bih lagi dengan pelarasan jentera saya yang semakin mempamerkan peningkatan sejak kami melakukan sedikit per­ubahan sebelum sesi latihan pagi tadi,” tambahnya.