MARC MARQUEZ meraikan kejayaannya di atas podium selepas memenangi perlumbaan MotoGP di Le Mans, Perancis, semalam. AFP

Ketika Jorge Lorenzo dari Ducati bermula cemerlang di awal perlumbaan, Marquez berjaya mengatasinya selepas memulakan aksi di petak kelima apabila pelumba petak pertama yang juga pilihan tuan rumah, Zarco terlibat dengan kemala­ngan sebelum Dovizioso mengikut jejak langkahnya.

Selepas dua seteru rapat­nya tersingkir, Marquez tidak berdepan masalah untuk memintas Lorenzo bagi mendahului perlumbaan dengan pelumba Ducati itu gagal mengekalkan corak perlumbaannya.

Marquez jelas selesa mendahului perlumbaan untuk merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut dan meneruskan penguasaan kejuaraan dunia dengan kelebihan 36 mata.

Danilo Petrucci menamatkan saingan di tempat kedua manakala pelumba veteran, Valentino Rossi menduduki tempat ketiga.

Pelumba sensasi negara, Hafiz Syahrin Abdullah menamatkan saingan di kedudukan ke-12 sekali gus mempertahankan kedudukan sebagai status pelumba baharu terbaik dengan kelebihan satu mata mengatasi Franco Morbidelli.–AGENSI