Dengan pencapaian hebat yang dilakar, selain memiliki wajah comel, tidak hairanlah mengapa pelumba kelahiran Cervera, Sepanyol itu menjadi kegilaan ramai wanita.

Bukan hanya wanita, malah penunggang Honda ini juga menjadi buruan pihak penaja yang mahu menjadikan dia duta jenama mereka, dari barangan permotoran, peralatan sukan, fesyen hinggalah kepada produk kecantikan.

Gaji tahunan Marquez sebagai pelumba profesional adalah AS$10 juta (RM41.75 juta) setahun, namun pendapatannya mencecah AS$25 juta (RM104.66 juta) hasil daripada menjadi duta pelbagai produk.

Biarpun popularitinya kini setanding legenda motosikal seperti Valentino Rossi, Mick Doohan, Nicky Hayden, Eddie Lawson atau Jorge Lorenzo, namun Marquez memilih untuk hidup secara sederhana dan enggan bermewah-mewah.

Marquez memiliki beberapa buah kereta BMW, namun semua tidak dibeli sebaliknya hadiah kemenangan.

Dia menerima BMW M4 CS, M2, M4 Coupe dan M6 Coupe selepas bergelar juara MotoGP dunia pada 2017, 2016, 2014 dan 2013. Pada 2015, meskipun tidak memenangi gelaran dunia, dia turut dihadiahkan M6 Convertible.

Memandangkan dia sudahpun memiliki kereta yang dihadiahkan penaja, Marquez merasakan tiada keperluan untuk membeli kenderaan mewah seperti Ferrari atau Porsche seperti kebanyakan bintang sukan.

Selain koleksi BMW, dia juga pemilik kereta Honda Civic.

“Kalau ditanya tentang memiliki barangan mewah, saya hanya berminat untuk mendapatkan motosikal.

“Saya tidak berminat memiliki Porsche atau Ferrari,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini juga masih tinggal bersama ibu bapanya, Julia Marquez dan Roser Alenta di perkampungan Cervera, Sepanyol.

Dia juga masih tidur di bilik lamanya dan dilihat belum bersedia untuk berjauhan dengan keluarga.

Marquez dilahirkan dalam keluarga sederhana. Bapanya adalah pekerja kontrak, manakala ibunya pula hilang pekerjaan sebagai setiausaha akibat krisis ekonomi yang melanda Sepanyol pada lewat 1990-an.

Bagaimanapun Julia dan Roser berjaya membesarkan anak-anak mereka menjadi pelumba yang hebat.

Jika Marc mendominasi kelas utama dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, adiknya, Alex, 22, pula pernah menjuarai kelas ketiga (Moto3) pada 2014 dan kini beraksi dalam kelas kedua - Moto2.

Jika Alex yang masih muda dan belum pun mengecapi kejayaan dalam kelas utama dunia sudah memiliki teman wanita, ramai yang menjangkakan Marquez juga pasti mempunyai wanita istimewa dalam hidupnya.

Namun, saat ditanya tentang perkara itu, Marquez sambil tersenyum membalas: “Ya, Alex ada teman wanita tetapi saya tidak ada.

“Saya sekarang bebas. Sukar bertemu dengan wanita sempurna tetapi akhirnya pasti akan menyukai wanita yang mempunyai wajah cantik.

“Sejujurnya saya suka wanita berambut coklat. Bermata biru? Itu tidak terlalu penting. Saya lebih suka yang berkulit coklat,” jelasnya yang mengakui meminati pelakon Hollywood, Penelope Cruz.

MARC MARQUEZ

Tarikh Lahir: 17 Februari 1993

Tempat Lahir: Cervera, Sepanyol

Kejuaraan Dunia: Lima Kali (2013, 2014, 2016, 2017, 2018)

Pendapatan: AS$25 juta (RM104.66 juta)

Hobi: Mendaki gunung, permainan video, berbasikal, motocross

Penyanyi kegemaran: Eminem

Pelakon kegemaran: Will Smith, Penelope Cruz

Muzik kegemaran:
Pop Rock