Penunggang Ducati, Andrea Dovizioso bagaimanapun melaungkan amaran akan memberi tentangan sengit, terutama selepas memenangi Grand Prix Malaysia, dua minggu lalu.

Marquez, 24, mempunyai pengalaman berdepan situasi genting kerana pernah meraih lima gelaran dunia dalam tiga kelas berbeza.

Dia juga dianggap pilihan untuk mengalahkan Dovizioso kerana reka bentuk Litar Ricardo Tormo memenuhi citarasanya dengan menawarkan banyak selekoh kiri, selain bakal beraksi depan penyokong sendiri di Sepanyol dan memegang kelebihan 21 mata.

Berjaya menamatkan perlumbaan dari kedudukan satu hingga 11 akan menghadiahkan gelaran kepada Marquez tetapi jika itu tidak berlaku dia berharap Dovizioso gagal memenangi saingan.

“Ia perkara biasa untuk merasa tertekan. Banyak perkara perlu difikirkan tetapi saya sudah merasai tekanan itu sejak separuh musim.

“Saya gembira kerana penentuan gelaran berlaku di Valencia. Saya suka litar di sini yang melawan arah jam, ia sesuai dengan tunggangan saya,” kata Marquez.

Ducati, mereka akan melakukan apa sahaja untuk membantu Dovizioso, sekali gus meraih kejuaraan pertama buat pasukan sejak kali terakhir Casey Stoner melakukannya pada 2007. AGENSI