Walaupun pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah turut mengakui hakikat itu, namun, dia telah bersedia untuk mengharungi cabaran tersebut.

Hafizh yang bernaung di bawah pasukan Petronas Raceline Malaysia berkata, Grand Prix Motosikal Jerman sentiasa menjadi antara perlumbaan paling mencabar kerana trek yang sengaja direka bentuk untuk menguji kecekapan pelumba.

“Ramai pelumba menyifatkan Litar Sachsenring sebagai antara trek yang paling sukar, walaupun litar tersebut adalah trek terpendek dalam kalendar MotoGP.

“Dengan selekoh yang cukup banyak dan sempit, perlumbaan sentiasa menguji fizikal pelumba dan juga keupayaan jentera kami,” katanya dalam satu ke­nyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hafizh sama sekali tidak gentar untuk berdepan cabaran getir tersebut dan pengalaman selama empat tahun sebagai pelumba tetap bagi saingan kelas Moto2 telah banyak mematangkan anak muda itu.

“Saya berasakan tubuh dan minda saya telahpun bersedia untuk mengharungi cabaran, dan selepas kejayaan di Assen (Grand Prix Belanda) hujung minggu lalu, saya benar-benar bersemangat untuk mengharungi perlumbaan di Jerman.

“Saya amat berharap akan dapat terus meraih mata dalam perlumbaan ini,” kata Hafizh yang menamatkan saingan di kedudukan kelapan di Litar TT Assen dan meraih tambahan lapan mata berharga.

Pencapaian terbaik Hafizh dalam Grand Prix Jerman ialah pada tahun lalu apabila anak muda berusia 23 tahun itu melengkapkan aksinya di kedudukan ketujuh dan berjaya mengutip sembilan mata.

Sementara itu, prinsipal pasukan, Barry Leong pula berkata, dia amat berharap Hafizh dapat mengekalkan momentum yang sama dalam perlumbaan di Litar Sachsenring dengan sasaran untuk mencatat keputusan yang lebih bagus berbanding saingan sebelum ini.

“Kami akan cuba memanfaatkan sepenuhnya sesi latihan bebas dalam usaha mendapatkan Hafizh pelarasan jentera terbaik menjelang perlumbaan sebenar.

“Cuaca pula dijangka sejuk dengan keadaan yang trek yang mungkin basah dan kering di Sachsenring,” ujarnya.