Hafiz Syahrin yang bakal menyertai aksi Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi tumpuan peminat permotoran tempatan malah pelumba itu sendiri akui mahu mempamerkan aksi terbaik hujung minggu ini bagi memastikan dia mampu meraih lebih banyak mata di laman sendiri.
Menjelang aksi GP Malaysia hujung minggu ini, wartawan Utusan Malaysia, Zazali Jamian menemubual Hafizh Syahrin berhubung persediaan menghadapi aksi di Sepang.

 

Utusan: Misi utama Hafizh dalam aksi di SIC hujung minggu ini?

Hafizh: Keyakinan saya musim ini amat baik kerana sudah memperoleh dua kali podium dan saya juga harus berterima kasih kepada penaja PETRONAS yang telah banyak membantu menerusi Program Pembangunan Bakat PETRONAS sejak 2009 sehingga kini dan berharap dapat meraih kecemerlangan di tahap lebih tinggi bersama PETRONAS.

Perlumbaan di SIC hujung minggu ini boleh dianggap penting buat saya dalam saingan Moto2 bukan sahaja kerana aksi di laman sendiri tetapi juga untuk memperbaiki kedudukan semasa saya dalam saingan musim 2017.

Saya harus berusaha mendapatkan tempat dalam kelompok lima terbaik dan berusaha meraih podium di Sepang dalam masa sama berharap jentera terbaik dapat disediakan pasukan bagi membantu saya menamatkan perlumbaan dengan keputusan positif.

Apakah yang harus dilakukan dalam aksi kelayakan pada Sabtu ini bagi memastikan misi utama Hafizh pada hujung minggu ini dapat dicapai?

Saya percaya harapan yang disandarkan kepada saya untuk aksi di Sepang kali ini amat tinggi dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan, oleh kerana itu semasa aksi pusingan kelayakan saya harus berusaha mendapatkan catatan masa yang terbaik bagi menjamin tempat sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 hadapan.

Dalam perlumbaan Moto2, saingan amat kompetitif malah perbezaan catatan masa kepantasan tidak mempunyai jurang yang besar sekali gus memerlukan pelumba seperti saya sentiasa fokus sehingga tamat perlumbaan.

Sebagai pelumba saya sentiasa mahu berada di hadapan namun dalam masa sama kadang-kala tidak dapat mengelak daripada perkara yang tidak dijangka iaitu kemalangan seperti yang berlaku ketika aksi perlumbaan pada 2015 dan saya amat berharap semua peminat tempatan memberikan sokongan kepada saya, dalam masa sama memahami situasi saya sebagai pelumba.

Dahulu semasa awal kemunculan Hafizh dalam saingan Moto2, anda sentiasa mengharapkan cuaca hujan dan kini selepas hampir empat tahun dalam kejuaraan dunia adakah masih menjadikan keadaan litar basah sebagai satu kelebihan?

Itu adalah kelebihan yang masih saya kuasai sehingga kini malah kebanyakan podium yang saya raih juga adalah ketika aksi dalam perlumbaan litar basah.

Dalam aksi di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad ini, saya tidak boleh terlalu mengharap kepada cuaca hujan kerana pengalaman saya dalam aksi Moto2 hampir empat tahun ini telah membantu meningkatkan kemahiran berlumba ketika keadaan litar basah dan kering.

Bagaimanapun sehingga ki­ni, saya masih lagi berasa lebih tenang andai dapat beraksi dalam litar basah berbanding kering dan catatan masa saya juga lebih pantas ketika waktu hujan.

Siapa pencabar utama Ha­fizh dalam aksi hujung ming­gu ini?

Dalam saingan Moto2 sukar untuk saya jangka siapa bakal menjadi pencabar utama kerana bagi saya semua pelumba dalam kelompok 20 terbaik adalah pencabar saya termasuk bagi aksi di Litar Antarabangsa Sepang nanti.

Setiap pelumba mahu mendapatkan keputusan terbaik, begitu juga saya tambahan pula setiap keputusan diraih akan mempengaruhi kedudukan mata pada minggu ini.

Harapan Hafizh terhadap pe­naja utama PETRONAS?

Saya dan PETRONAS telah setia bersama hampir 10 tahun dan komitmen yang diberikan kepada saya sentiasa yang terbaik sejak saya masih berada di tahap terendah sehinggalah di tahap sebegini.

Saya sentiasa berharap akan dapat terus melakukan yang terbaik pada tahun depan bersama PETRONAS dan membawa logo mereka serta bendera Jalur Gemilang di pentas dunia.