Motosikal merupakan cinta pertamanya sehinggakan kehidupannya di luar litar perlumbaan MotoGP masih berkisar terhadap sukan pemotoran.

Walaupun tidak memacu jentera Ducati sepanjang musim berehat sekalipun, bapa kepada seorang puteri bernama Sara berusia lapan tahun itu masih tetap melibatkan dirinya dengan kancah perlumbaan.

Sejak penghujung tahun lalu, Dovizioso yang amat meminati kereta supersport Lamborghini Veneno, mula menjinak-jinakkan dirinya dengan perlumbaan jentera empat roda.

Pelumba berusia 31 tahun itu bersama bekas juara dunia MotoGP, Casey Stoner telah menyer­tai perlumbaan enam pusingan Lamborghini Huracan Super Trofeo di Valencia, Sepanyol pada 1 hingga 4 Disember tahun lepas untuk kategori Pro-Am.

Bagi memastikan dia dapat mengendalikan kereta mewah tersebut dengan baik, Dovizioso yang lebih mesra dipanggil Dovi dalam kalangan kenalan rapatnya turut mengikuti latihan di Akademi Lamborghini dekat Imola, Itali pada Mei 2016 bersama Stoner.

Ternyata usahanya itu berbaloi apabila Dovizioso berjaya memenangi perlumbaan itu yang berlangsung di Litar Valencia, sebuah trek yang tidak asing baginya dalam saingan MotoGP.

“Saya gembira dapat me­raih pengalaman bersama Lamborghini. Ini merupakan pe­ngalaman pertama saya dalam perlumbaan empat roda. Berada di atas motosikal, anda mempunyai objektif yang sama iaitu untuk memenangi perlumbaan.

“Bagaimanapun, ketika berada dalam perlumbaan kereta, pengalaman agak jauh berbeza dengan motosikal terutama apabila di selekoh. Jika memacu motosikal, anda tidak perlu memanfaatkan keseluruhan keada­an trek berbanding memandu kereta yang memerlukan kawalan penuh,” katanya, berkongsi pengalaman memandu Lamborghini.

Lebih gemar memilih kehidupan yang jauh daripada kesibukan kota itu, pelumba itu mewarisi bakat berlumba daripada bapanya yang merupakan seorang pelumba motocross. Ketika berusia enam tahun, Dovizioso memiliki motosikal mini pertamanya dan setahun selepas itu dia mula berlumba di litar.

Sebaik sahaja umurnya menginjak ke angka 11, pemilik pasukan GRC, Antonio Gambarri telah menggilap bakat Dovizioso dan sejak itu pelumba yang kini berada di kedudukan kedua dalam senarai penunggang MotoGP di belakang Marc Marquez terus menyerlah dalam kejuaraan motosikal dunia.