Marquez, 24, hanya mampu menamatkan saingan musim lalu di tangga kelima, namun pelumba Honda itu menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam dua perlumbaan terakhir menjelang aksi di Austria apabila menjuarai Grand Prix Jerman dan Republik Czech.

Dua kemenangan tersebut membolehkan dia kini mendahului kedudukan pelumba dunia dengan 14 mata mengatasi rakan senegara yang juga pencabar utamanya dalam saingan MotoGP musim ini, Maverick Vinales.

“Kami sangat bergelut di Litar Red Bull Ring (Austria) tahun lalu, tetapi harap semuanya akan menjadi lebih baik tahun ini.

“Ketika beraksi di Brno (Repu­blik Czech), treknya juga sangat mencabar, namun pada akhirnya kami masih mampu mencatat keputusan yang menakjubkan.

“Jadi, kami tiba di Austria bersama perasaan yang positif de­ngan ha­rapan semuanya akan berbeza tahun ini,” kata Marquez.

Tahun lalu, pelumba Itali, Andrea Iannone muncul juara di Austria selepas mengalahkan rakan senegara, Andrea Dovizioso bagi memastikan Ducati menguasai kedudukan 1-2.

Bagaimanapun ketika itu, Grand Prix Austria hanya kembali dalam kalendar perlumbaan buat kali pertama sejak 1971.

Pelumba legenda Itali, Giacomo Agostini adalah juara Grand Prix Austria pada 1971 ketika perlumbaan diadakan di Salzburgring sebelum sirkit tersebut digugurkan akibat terlalu berbahaya. – AGENSI