Kesakitan yang terpaksa ditanggung pelumba Monster Yamaha Tech3 itu sepanjang perlumbaan menyebabkan dia sekadar melengkapkan aksi di kedudukan ke-16 menerusi catatan masa 42 minit 21.539 saat.

Perlumbaan sulung di Eropah pada musim 2018 itu berakhir de­ngan juara dunia, Marc Marquez dari Sepanyol muncul juara menerusi catatan masa terpantas 41:39.678s.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco dari Perancis (41:44.919s), manakala pelumba Itali, Andrea Iannone di kedudukan ketiga (41:47.892s).

“Saya telah menyertai empat perlumbaan di Jerez tetapi kali ini saya benar-benar bergelut dengan tubuh saya kerana saya ditimpa masalah sejak Jumaat dan hari ini (semalam) secara jujurnya saya berasa lebih teruk berbanding, semalam.

“Bagaimanapun, saya tetap berusaha keras untuk berada di kedudukan pertengahan, selepas itu, saya semakin hilang tenaga untuk memacu jentera dengan sempurna kerana kesakitan yang saya tanggung.

“Mungkin saya menggunakan terlalu banyak tenaga pada awal sai­ngan,” kata Hafizh kepada laman web www.motogp.teamtech3.fr di sini, hari ini.

Walaupun sekadar mencatat keputusan sederhana, Hafizh berkata, dia tetap gembira kerana berjaya melengkapkan perlumbaan.

Hafizh juga memohon maaf kepada pasukan, tetapi mengakui, sasarannya untuk menamatkan saingan berjaya dicapai.