Langkah itu diambil, bagi memastikan kepuasan maksimum dan pengalaman penonton yang hadir ke SIC yang menyaksikan pelbagai kejuaraan seperti Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP), FIA World Touring Car Cup, Kejuaraan Siri Malaysia, Kejuaraan Superbike Malaysia, Sepang 1000km dan banyak lagi.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan SIC, hari ini, pihak pengurusan litar berjanji akan bekerja keras bagi kerja-kerja pengubahsuaian tersebut dan menaik taraf fasiliti sedia ada di litar untuk kemudahan peminat.

Selepas pemasangan lampu litar yang melibatkan 64 tiang, yang memberikan pencahayaan mencukupi untuk pertandingan yang dianjurkan sebelah malam, SIC juga mahu menyediakan suasana yang selamat dan selesa bagi penonton.

Kerja-kerja perubahan struktur sedang dijalankan di tempat duduk utama atau Main Grandstand, dalam usaha memastikan penonton mendapat perlindungan yang sewajarnya di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, terdapat beberapa kebocoran di tempat duduk tersebut terutamanya ketika hujan lebat sehingga menyebabkan rasa kurang puas hati dalam kalangan penonton. Kerja pengubahsuaian itu kali pertama dilakukan sejak SIC dibuka pada 1999.

Selari dengan objektif bagi menyediakan fasiliti yang lebih baik, tandas di kawasan awam dan paddock juga akan dinaik taraf bagi memberi SIC wajah baharu.

Untuk trek pula, kerja-kerja membaik pulih akan bermula bagi menghadapi tiga kejohanan besar iaitu MotoGP, World Touring Car Championship dan Endurance World Championship yang akan diadakan pada November hingga Disember.

“Amat penting untuk memberi keutamaan kepada pelanggan kami iaitu penonton. Ia menjadi keutamaan SIC. Kami akan terus meningkatkan fasiliti kami demi keselesaan dan keseronokan pengunjung. Tahun ini adalah tahun istimewa kerana kami meraikan ulang tahun yang ke-20.

“Kami berharap dengan pengubahsuaian yang dilakukan, penonton dapat menikmati keseronokan menyaksikan pertandingan di litar ini dengan suasana yang selesa seperti mana yang kami sasarkan untuk menjadikan SIC sebagai destinasi sukan pemotoran di negara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. - UTUSAN ONLINE