Pelumba Petronas Raceline Malaysia itu mencatat masa terpantas 31 minit 13.926 saat (s) untuk muncul juara perlumbaan itu yang dijadikan Hafizh sebagai pertandingan pemanas badan dalam persediaannya bagi mengharungi Grand Prix Motosikal Sepanyol.

Tempat kedua menjadi milik pelumba tuan rumah, Hector Garzo yang melakar masa 31:18.942s, sementara di kedudukan ketiga dimenangi oleh seorang lagi penunggang Sepanyol, Augusto Hernandez yang mencipta masa 31:21.269s.

Hafizh dalam kenyataannya kepada media, semalam, melahirkan rasa gembira dapat mencatat keputusan sebaik itu, walaupun pada sesi latihan bebas dia terpaksa berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu.

“Terima kasih semua. Saya gembira dengan kemenangan ini. Kami telah bekerja keras bagi melakukan persediaan rapi. Walaupun keadaan cuaca tidak begitu bagus pada hari Jumaat dan Sabtu, kami masih mampu memberikan yang terbaik dalam setiap sesi.

“Sasaran utama saya ialah untuk memberikan yang terbaik menjelang perlumbaan hujung minggu ini di Jerez dan harap pencapaian positif ini dapat dikekalkan untuk sepanjang baki musim ini,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Razmin Masli Abdul Razak memberitahu, pihaknya telah mencapai objektif untuk memenangi perlumbaan pada kejuaraan di Litar de Albacete.

“Akhirnya, kami berjaya mendapatkan satu pertandingan yang berupaya membantu Hafizh mempamerkan persembahan terbaiknya. Semua yang diatur berjalan lancar untuk kami,” ujar Razmin. - UTUSAN ONLINE