Penunggang Ducati tersebut ke­tinggalan 21 mata di belakang Marquez dalam pe­rebutan gelaran dunia, sekali gus meletakkannya pada kedudukan wajib menang perlumbaan terakhir 2017 itu sambil berharap Marquez gagal menamatkan diri dalam kelompok 11 terbaik.

Walaupun Marquez dijangka menggunakan pendekatan selamat, namun Dovizioso percaya, sikap pelumba Honda tersebut yang sukar dijangka memberi harapan kepadanya untuk meraih kejua­raan.

“Kita semua tahu dia (Marquez) adalah pelumba yang bagus dan tahu bagaimana hendak mena­ngani situasi seperti ini (persaingan sengit merebut kejuaraan).

“Memang benar dia bijak melihat peluang tetapi dia juga seorang yang sukar ‘menahan diri’ dan kelemahan itu mendedahkannya kepada risiko.

“Tidak mustahil dia boleh membuat silap. Strategi kami pula mudah, cuba memenangi perlumbaan,” kata Dovizioso.

Sementara itu, Marquez me­negaskan, menunggang hanya untuk menempatkan diri dalam kelompok 11 terbaik bukan caranya.

“Ia bukan cara saya (menunggang secara berhati-hati). Saya akan beri tekanan seperti biasa.

“Apa pun, hanya selepas tamat latihan terakhir baru kami tahu sejauh mana kemampuan Dovi. Dari situ kita akan putuskan (sejauh mana perlu berlumba secara agresif).

“Saya tidak akan keluar untuk sekadar mencabar kedudukan ke-10, 11 atau sembilan,” katanya. – AGENSI