Marquez, 24, kini menerajui persaingan dengan 21 mata mengatasi rakan sepasukan Lorenzo, Dovizioso dan penunggang Honda itu hanya perlu mencatat keputusan lebih baik berbanding pencabarnya dari Itali bagi mempertahankan kejuaraan.

Bagaimanapun Lorenzo percaya, pelumba Sepanyol tersebut berada di bawah tekanan hebat kerana bukan sahaja beraksi sebagai pendahulu perlumbaan, malah juara bertahan dan memburu gelaran MotoGP keempat.

“Andrea (Dovizioso) tahu apa yang perlu dilakukan. Dia pelumba yang bijak dan sangat memahami motosikalnya.

“Saya yakin, dia akan melakukan apa sahaja bagi memastikan perlumbaan berlangsung kompetitif dan turun untuk mencari kemenangan.

“Saya percaya, Marc lebih tertekan ketika ini. Dia sedar nasibnya bergantung kepada diri sendiri, hanya dia yang boleh menentukan siapa pemenang kerana dia mendahului persaingan,” kata Lorenzo kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ducati, Claudio Domenicali menegaskan, seluruh pasukan akan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Dovizioso bagi membolehkan pasukan memenangi kejuaraan dunia pertama sejak 2007.

Pengarah perlumbaan Ducati, Gigi Dall’Igna pula percaya, pasukannya telah mengharungi musim yang baik tanpa mengambil kira apa keputusan yang berlaku pada hujung minggu ini.

“Kami sedar persaingan hujung minggu ini sangat sukar, hampir mustahil tetapi kami akan ke Valencia bersama sasaran dan harapan. Kami turun untuk memberi persembahan terbaik,” kata Dall’Igna. - AGENSI