Memiliki kekayaan dianggarkan AS$120 juta (RM513.30 juta) Rossi yang dikenali dengan jolokan The Doctor meraih pendapatan sekitar AS$12 juta (RM51.33 juta) setahun dan tambahan AS$10 juta (RM42.77 juta) hasil daripada penajaan serta iklan.

Hasil daripada pendapatan itu, Rossi turut menjalani gaya hidup mewah seperti kebanyakan atlet lain malah turut memiliki beberapa aset termasuk sebuah vila di Ibiza, sebuah pulau berhampiran laut Mediterranean.

Atlet berusia 39 tahun itu juga memiliki kapal layar mewah untuk kegunaan peribadi selain Ferrari 458 Italia yang ditempah khas dengan nombor pendaftaran 046VR.

Minat yang mendalam terhadap sukan lumba motosikal menyaksikan atlet kelahiran Urbino itu membeli sebuah kawasan berkeluasan 80 hektar di Tavullia, Itali yang dikenali sebagai Rossi Ranch bagi mewujudkan Akademi VR46 bagi melatih pelumba-pelumba muda.

Di atas tanah itu juga turut tersedia kawasan kediaman, ladang pertanian, ladang anggur dan trek perlumbaan sejauh 2.8 kilometer.

“Seperti mimpi di zaman kanak-kanak. Awak berharap satu hari nanti awak mampu memiliki sebuah litar perlumbaan.

“Saya tidak pernah ke sini bersendirian, saya akan datang bersama kawan-kawan pada hujung minggu,” kata Rossi yang berjaya menghidupkan impian zaman kanak-kanaknya menerusi status kewangan yang cukup stabil hasil kerja kerasnya selama ini.

Selain itu, Rossi juga pernah menjadi salah seorang juri jemputan di dalam siri Master Chef Itali yang dirakamkan di trek perlumbaan peribadinya.

Pelumba itu juga pernah menulis sebuah buku yang bertajuk What If I Had Never Tried It yang berkisar tetang kehidupan peribadinya selain dunia perlumbaan.

Kekayaan yang dimiliknya itu juga turut menyaksikan dia didampingi gadis-gadis cantik sepanjang tempoh 15 tahun sejak 2002, namun Rossi sememangnya tidak berhasrat untuk mendirikan rumah tangga kerana lebih tertumpu kepada sukan yang digemarinya.

Antara gadis-gadis yang pernah menjadi penyeri hidupnya termasuk bekas kekasih George Clooney iaitu Elisabetta Canalis dan kini bersama bekas kekasih pelumba Formula Satu (F1) pasukan Ferrari, Fernando Alonso iaitu Linda Morselli.

Mereka-mereka yang pernah menjadi pendamping Rossi termasuk Eleonora Pedron (bekas kekasih pelumba Max Biaggi), Aura Rolenzetti, Marwa Klebi, Mandalam Tayde, Arianna Matteuzzi, Maddalena Corvaglia dan Martina Stella.

“Saya tidak bersedia untuk berkahwin dan secara dasarnya saya berharap untuk tidak sesekali berkahwin.

“Saya hanya akan berkahwin sekiranya tiada pilihan lain dalam hidup ini,” katanya yang terus mengimpikan kejayaan di litar lumba selain akan meneruskan kehidupannya dengan mendampingi gadis-gadis cantik.