Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat yang berminat untuk menaja pelumba itu, sebelum mengumumkannya dalam ma­jlis pelancaran pasukan Februari depan.

“Ya. Ini kerana terdapat beberapa syarikat yang berminat untuk menaja Hafizh sebelum ini, namun tidak berpeluang pada musim lalu. Bagaimanapun kali ini kami (SIC) membuka peluang kepada mereka untuk menaja Hafizh.

Ketika ini saya tidak boleh mendedahkan syarikat mana yang menyatakan minat kerana rundingan masih dijalankan dan pada 20 Februari depan kami akan dedahkan keseluruhan pasukan Moto2 dan Moto3 dalam majlis pelancaran pasukan,” katanya.

Razlan berkata demikian selepas sidang akhbar sempena persediaan tiga pelumba negara Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Afiq Ikhwan Yazid untuk ber­saing dalam baki perlumbaan Siri Le Mans Asia musim ini, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Oktober lepas, Petronas dan SIC menjalin kerjasama strategik untuk membentuk pasukan baharu iaitu Petronas Sprinta Racing yang akan bersaing dalam kelas Moto2 dan Moto3 musim depan.

Bagaimanapun, Petronas membuat pusingan U de­ngan mengatakan mereka ingin memberi fokus kepada program akar umbi bagi melahirkan le­bih ramai pelumba muda ke MotoGP.

Itu bermakna Hafizh, 24, kini berada di bawah naungan SIC Racing Team milik SIC sepenuhnya - bukan lagi Petronas Sprinta Racing seperti dimaklumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Hafizh yang dihubungi menerusi Whats­App berkata: “Saya tidak sabar untuk bekerja dengan pasukan baharu (SIC SIC Racing Team)”.