Hafizh sendiri menyuarakan rasa kesalnya kerana perlumbaan di Silverstone terpaksa dibatalkan, tetapi sebagai pelumba yang meng­utamakan keselamatan, dia akur dengan keputusan tersebut.

“Agak malang saya tidak dapat berlumba di Silverstone kerana saya belum pernah merasai pengalaman beraksi di atas litar basah sejak memacu jentera MotoGP, tetapi keselamatan perlu diberi keutamaan, jadi keputusan itu mudah,” kata Hafizh dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pembatalan perlumbaan itu ekoran hujan lebat namun membolehkan Hafizh berehat panjang sebelum kembali beraksi dalam Grand Prix San Marino, Itali pada hujung minggu ini.

Menurut pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu, fokusnya kini ialah perlumbaan di Misano, trek yang menjadi kesukaannya dan pernah memberikan satu kenangan yang cukup manis buatnya.

“Saya tidak sabar untuk ke Misano, trek yang menjadi kegemaran saya dan saya mempunyai kenangan yang cukup baik di sana. Saya akan cuba melakukan persediaan sebaik mungkin menjelang sesi latihan dan saya juga sedar saya perlu meningkatkan prestasi dalam sesi kelayakan.

“Sebab itu, saya bekerja keras sejak minggu lalu dan akan cuba memberikan tumpuan sepenuhnya. Saya berharap semuanya berjalan dengan lancar,” ujar anak muda berasal dari Ampang, Selangor itu.

Hafizh memiliki catatan rekod yang baik di Misano setelah dia menamatkan perlumbaan di tempat kedua sewaktu bersaing dalam kelas Moto2 pada tahun lalu.