HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH

Pelumba berusia 24 tahun yang mewakili Monster Yamaha Tech 3 itu bermula di petak ke-14, mempamerkan pecutan yang mengagumkan untuk ber­ada di kedudukan kesembilan sebelum jenteranya hilang kawalan dan tergelincir hanya beberapa pusingan untuk menamatkan perlumbaan.

“Saya berasa sangat selesa semasa perlumbaan, tetapi telah melakukan kesilapan dan jentera tidak dapat dikawal. Saya cuba untuk kembali berada di posisi yang betul tetapi tiba-tiba motor saya tergelincir dan saya terjatuh.

“Saya rasa sangat bersalah kepada pasukan saya. Saya akan belajar daripada kesilapan ini dan akan kembali dengan lebih bersemangat,” kata Hafizh dalam laman web rasmi pasukan itu.

Hafizh bagaimanapun teruja untuk menyertai GP Belanda apabila menyasarkan untuk mengutip semula mata yang hilang dalam tempoh 12 hari.

“Kami boleh menduduki anak tangga sembilan teratas, tetapi tidak seperti yang diharap­kan. Saya rasa sangat bersalah kepada rakan sepasukan, penaja dan semua yang telah menyokong saya.

“Saya berjanji akan mengganti semula kekalahan ini dalam pusingan yang be­­r­i­kutnya,” katanya.

Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo meraih kemenangan kedua MotoGP berturut-turut untuk pasukan Ducati selepas memenangi perlumbaan dalam masa 40 minit, 13.566 saat.

Pendahulu semasa MotoGP Marc Marquez dari Sepanyol dan juara dunia sembilan kali dari Itali, Valentino Rossi yang mewakili Movistar Yamaha MotoGP masing-masing berada di belakang juara dengan catatan +4.479s dan +6.098s.

Rakan sepasukan Hafizh dari Perancis, Johann Zarco menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh (+13.432s). – BERNAMA