Beberapa portal berita di Indonesia turut memberi liputan kepada Hafizh yang menjalani sesi ujian di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand sejak tiga hari lalu, malah, ada juga yang menyifatkan anak muda itu sebagai wakil pelumba Asia Tenggara.

Portal berita Detik.com melaporkan, Hafizh Syahrin Akan Jalani Tes bersama Tech3 di Thailand, manakala Jawa Pos menggunakan tajuk berita Lakoni Debut di MotoGP, Pembalap Malaysia: Kejutan Besar!.

CNN Indonesia pula bernada lebih keras apabila menyuarakan kritikan mereka setelah melihat penyertaan Hafizh ke kancah MotoGP menjadikan Indonesia semakin ketinggalan di belakang Malaysia dalam kejuaraan motosikal dunia.

Dengan berita yang bertajuk Syahrin Berpeluang ke MotoGP, Indonesia Semakin Tertinggal, portal berita itu turut melaporkan tentang Hafizh yang diberi peluang menguji jentera MotoGP di Buriram.

Media lain yang turut memberikan liputan terhadap pelumba kelahiran Selangor itu ialah Tempo.co, metrotvnews.com, MediaIndonesia.com dan sportku.com.

Hafizh yang membuat penampilan sulung semusim penuh dalam kejuaraan dunia menerusi kelas Moto2 pada 2014, turut menerima maklum balas positif daripada beberapa pelumba MotoGP seperti Johan Zarco yang bakal menjadi rakan sepasukannya dan penunggang LCR Honda, Cal Crutchlow.

“Pujian wajar diberi kepada (Hafizh) Syahrin, dia telah melaksanakan tugasnya dengan baik,” kata Crutchlow.

Sementara itu, Hafizh ketika dihubungi, hari ini, melahirkan rasa gembiranya kerana diberi peluang menjalani sesi ujian bersama Monster Yamaha Tech 3.

“Saya berterima kasih kepada Tech 3, Yamaha, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) Datuk Razlan (Razali). Saya cuba memberikan yang terbaik sepanjang tiga hari di Buriram.

“Saya gembira sangat kerana masa yang dicatat saya tidak begitu jauh dengan pelumba-pelumba lain. Saya pamer peningkatan dalam setiap seksyen. Saya berasa positif dengan sesi ujian ini. Saya harap dapat sampai ke Qatar dan musim pertama bersama MotoGP pada 2018,” katanya.