Hafizh yang kini bernaung di bawah pasukan Monster Yamaha Tech3 itu berjaya menyempurnakan 44 pusingan dan mencatat masa sepusingan terpantas satu minit, 55.273 saat (s) untuk me­nempatkan dirinya di kedudukan ke-15 daripada 24 pelumba yang menyertai sesi tersebut.

Catatan masa Hafizh hanya dipisahkan 0.141s berban­ding catatan masa yang dilakukan seorang lagi pendatang baharu MotoGP yang merupakan juara dunia Moto2 bagi musim lalu Franco Morbidelli dari Itali menerusi masa sepu­singan 1:55.132s.

Dengan panjang trek di Bu­riram, Thailand dan Losail yang jauh berbeza, defisit yang wujud antara pelumba di kedudukan teratas bukanlah satu perban­dingan yang adil untuk dilakukan jika catatan masa sepusingan diambil kira, tetapi dari segi peratusan, pelumba negara itu mempamerkan peningkatan yang ketara.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco dari Perancis muncul pelumba terpantas menerusi cata­tan 1:54.029s di Qatar. De­ngan jurang di bawah dua peratus berbanding Zarco di Thailand, Hafizh berjaya memperbaiki defisit di Qatar kepada hanya satu peratus dengan rakan sepasukannya itu.

“Saya kini berasa sangat positif dan yakin dengan motosikal. Langkah demi langkah, saya mula memahami pasukan saya dan (peralatan) elek­tronik jentera. Saya rasa saya telah memberikan yang terbaik. Kalau tidak silap, saya merupakan pendatang baharu kedua terpantas pada hari terakhir ini,” kata Hafizh.

Ekoran pencapaian baiknya itu, anak muda kelahiran Se­langor tersebut melahirkan rasa terujanya untuk berlumba dalam aksi pembukaan nanti di litar yang sama pada 18 Mac ini, walaupun dia hanya mempunyai masa yang singkat untuk membuat persediaan berbanding pendatang baharu MotoGP yang lain.

“Saya berharap saya benar-benar bersedia bagi menghadapi perlumbaan. Kami kini berada dalam kondisi terbaik dan saya akan terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasi fizikal apabila pulang ke tanah air,” ujarnya yang turut menghuni kedudukan ke-16 keseluruhan.

Hafizh yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga Di­sember lalu turut mengucapkan terima kasih kepada krew pasukannya yang bekerja keras membantunya untuk segera memahami jentera Yamaha.

“Terima kasih banyak kepada krew pasukan Tech3, mereka telah menjalankan tugas dengan baik sekali. Kami bekerja keras untuk merapatkan jurang berbanding pelumba di kedudukan teratas. Walaupun saya ada me­lakukan kesilapan kecil sewaktu perlumbaan simulasi, tetapi saya segera memahami dan tahu apa yang perlu dilakukan semasa perlumbaan nanti,” jelasnya.