Itu bermakna Hafizh Syahrin, 24, kini berada di bawah naungan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sepenuhnya dengan nama ditukar menjadi SIC Racing Team bukan lagi Petronas Sprinta Racing seperti dimaklumkan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, keputusan itu dibuat pihak Petronas beberapa minggu lalu kerana mahu memberi fokus kepada pembangunan akar umbi melibatkan pelumba Moto3 dan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV.

Tambah Razlan, Petronas juga percaya, bekas pelumba Petronas Raceline Malaysia itu sudah cukup matang dalam saingan Moto2, selain mampu menarik penaja lain.

“Hubungan SIC dan Petronas masih baik tambahan pula mereka yang meminta SIC untuk menggerakkan program pembangunan di peringkat akar umbi.

“Keputusan yang dibuat itu juga tidak menjejaskan Hafizh Syahrin kerana pelumba itu kini berada sepenuhnya di bawah pasukan SIC Racing Team dan dalam masa sama kami sedang berusaha untuk mendapatkan tajaan lain.

“Ketika ini pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin akan mendapat tajaan Petronas dengan nama Petronas Sprinta Racing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Oktober lalu, Hafizh Syahrin diumum menyertai Petronas Sprinta Ra­cing yang berada di bawah naungan SIC dengan kedudukan lima terbaik menjadi sasaran bagi musim 2018.

Hafizh Syahrin atau dikenali sebagai Pescao menamatkan musim 2017 dengan berada di kedudukan ke-10 keseluruhan.

Tahun ini boleh dianggap musim cemerlang Hafizh Syahrin kerana dua kali menaiki podium di Grand Prix (GP) Jepun pada Oktober lalu dan GP San Marino, September lalu.

Dalam GP Jepun, Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan di tempat ketiga begitu juga ketika aksi GP San Marino.

Kali pertama Hafizh Syahrin meraih podium dalam kariernya adalah ketika beraksi menerusi tiket wild card pada 2012.