Selepas menjalani tiga sesi ujian di Buriram, Thailand minggu lalu, pelumba berusia 23 tahun itu berjaya memikat pasukan Monster Yamaha Tech3 untuk menggantikan Jonas Folger dari Jerman, sekali gus menjadikannya penunggang Malaysia serta Asia Tenggara pertama beraksi dalam perlumbaan kelas perdana pada kejuaraan motosikal dunia.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dalam satu sidang akhbar khas di sini hari ini.

Hafizh menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Moto2 musim lalu apabila menutup kempen di tangga ke-10 keseluruhan, malah berjaya menaiki podium dua kali dengan menduduki tangga kedua pada Grand Prix San Marino, selain tempat ketiga di Jepun.

Dia bakal membuat penampilan bersejarah dalam perlumbaan MotoGP pada 18 Mac ini apabila saingan musim baharu membuka tirai dengan Grand Prix Qatar, diikuti Argentina (8 April) serta Americas pada 22 April.

Kemunculan Hafizh, yang bakal bergandingan bersama pelumba Perancis, Johann Zarco dalam perlumbaan di tanah air pastinya dinantikan peminat tempatan apabila pusingan ke-18 kejuaraan motosikal dunia tiba di Sepang pada 4 November.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya.

“Terima kasih kepada peminat yang sering mendoakan saya dan doa mereka telah dimakbulkan. Saya dapat beraksi pada perlumbaan MotoGP.

“Saya tidak tahu hendak kata apa, dalam masa sama gembira dan sedih kerana ini yang emak saya inginkan. Saya harap dapat melakukan kejutan dalam MotoGP.

“Rezeki yang datang kepada saya ini akan saya gunakan sebaik mungkin. Harap mampu menampilkan perlumbaan yang menakjubkan,” kata Hafizh dalam sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Hafizh berkata, pengalaman menunggang Yamaha YZR-M1 sepanjang sesi ujian di Litar Antarabangsa Chang minggu lalu sangat menakjubkan, malah kelajuan tinggi jentera MotoGP membuatkan dia berasa seperti baru turun daripada menaiki jet.

“Saya gembira dapat menunggang motosikal yang memang saya impikan selama ini. Dalam hidup saya, memang saya sentiasa berharap untuk beraksi dalam perlumbaan MotoGP,” katanya lagi, yang menegaskan kejayaan ini tidak sama sekali akan menjadikannya seorang yang bongkak. - UTUSAN ONLINE