Walaupun hatinya merintih melihat kesusahan hidup yang terpaksa dilalui Hafizh Syahrin seawal usia sembilan tahun yang dibawa menyertai perlumbaan pocketbike ke serata Malaysia, tetapi dia tidak kesal kerana kini menyaksikan kejayaan dicapai puteranya itu pada hari ini.

Lelaki berusia 50 tahun itu kini sudah boleh tersenyum apabila Hafizh Syahrin disahkan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal muncul anak Malaysia pertama berlumba dalam kelas utama MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3.

“Saya berkata kepada Hafizh, ini saja yang ayah mampu bantu. Hafizh berusaha sebaik mungkin untuk jadi pelumba. Saya minta maaf kepada Hafizh sebab merampas usia kanak-kanaknya. Saya berasa usaha saya berbaloi pada hari ini, terima kasih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengimbas kembali zaman pelumba kelahiran Selangor itu mula berjinak-jinak dalam sukan pemotoran, Abdullah berkata, jika dikenang pengalaman lalu, memang memeritkan kerana kekangan kewangan menyebabkan dia tidak mampu menaburkan kemewahan kepada anaknya itu.

Impian menggunung tinggi, tetapi menurut Abdullah, untuk memberikan keselesaan sepanjang Hafizh menyertai perlumbaan pocketbike di merata negeri di Malaysia, dia memang tidak mampu.

“Saya hanya berbekalkan modal saya sendiri hasil pendapatan saya bekerja di bengkel motosikal yang saya usahakan. Bermula dari umur 10 tahun Hafizh mula tunjuk taring sebagai seorang pelumba.

“Sejak itu, boleh dikatakan di setiap negeri saya bawa Hafizh berlumba, sehingga dia menjadi juara pocketbike aircol dan watercol. Saya pusing satu Malaysia dengan kereta bersama Hafizh. Selama empat tahun Hafizh dalam perlumbaan pocketbike,” ujarnya.

Abdullah memberitahu, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah dia harungi bersama Hafizh Syahrin, termasuklah terpaksa tidur di dalam kereta kerana tidak mampu untuk menginap di hotel.

“Pengalaman suka dan duka telah saya lalui dengan anak saya itu. Dengan bajet yang memang tidak cukup, kereta saya pernah menjadi hotel untuk kami berdua,” jelasnya menceritakan perjalanan awal karier Hafizh.

Melihat pencapaian anaknya, yang turut meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengucapkan tahniah atas kejayaannya menjadi penunggang MotoGP bagi musim 2018, Abdullah kini sudah boleh mengukir senyuman dan menarik nafas lega setelah usaha dan susah payahnya sebelum ini berbaloi dan sudah pun dianggapnya sebagai satu lonjakkan besar dalam karier Hafizh.