Pelumba pasukan Monster Yamaha Tech 3 itu sekadar me­nempah petak ke-23 dengan catatan masa sepusingan dua minit 16.825 saat (s) selepas sesi kelayakan Grand Prix Malaysia dilangsungkan di atas trek basah ekoran hujan lebat.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco (2:12.709s) pula akan memulakan saingan di petak utama, setelah pendahulu sesi kelayakan Marc Marquez dari pasukan Honda Repsol yang mencatat masa terpantas 2:12.161s dikenakan penalti enam petak ke belakang kerana memperlahankan motosikal ketika persaingan masih berjalan.

Petak kedua menjadi milik legenda Itali, Valentino Rossi (2:13.009s) dan grid ketiga dihuni rakan senegara Rossi, Andrea Iannone (2:13.097s).

Walaupun mencatat keputusan buruk, Hafizh berkata, demi peminat dia sanggup melakukan apa sahaja dan akan berjuang habis-habisan dalam perlumbaan esok.

“Apa pun esok adalah hari yang lain bagi saya. Dengan peminat yang datang, insya-Allah saya akan buat yang terbaik, saya cuba buat sehabis mungkin apa yang tiada dalam pengalaman saya supaya peminat semua seronok dengan persembahan walaupun saya bermula dari belakang,” katanya kepada pemberita.

Hafizh yang mendapat nama jolokan Pescao (ikan kecil) oleh peminat di Sepanyol kerana keberaniannya berlumba dalam hujan, walau bagaimanapun mengakui sejak bergelar pelumba MotoGP, dia tidak pernah memacu jenteranya di trek basah.

“Ini pengalaman pertama saya. Saya memang tidak ada pengalaman berlumba dalam hujan. Itu yang membuatkan saya agak sukar untuk memberikan (persembahan) terbaik ketika kelayakan tadi,” ujarnya.

Mengulas mengenai sasaran esok, pelumba berasal dari Ampang, Selangor itu berharap dia dapat melengkapkan perlumbaan dalam kalangan 10 terbaik.

“Peluang itu masih ada untuk saya ubah situasi saya sekarang pada hari esok. Saya harap keadaan cuaca esok dan rezeki menyebelahi saya,” tambahnya.