Beraksi buat pasukan Monster Yamaha Tech3, Hafizh, 24, berkata, trek basah bakal memberi kesukaran buatnya kerana dia belum pernah berlumba dalam keadaan hujan sejak beralih ke kelas utama.

“Sejujurnya saya harapkan cuaca baik serta trek yang kering sebab saya tidak ada pengalaman beraksi di litar basah.

“Saya juga perlu konsisten di pertengahan perlumbaan untuk mencari keputusan terbaik supaya apa yang berlaku di Philipp Island (Grand Prix Australia, minggu lalu) tidak berulang di Sepang,” katanya dalam acaa praGrand Prix Malaysia 2018 di Jalan Ampang, di sini hari ini.

Meraih keputusan cemerlang di Sepang adalah penting buat Hafizh jika mahu menewaskan pelumba Itali, Franco Morbidelli untuk gelaran rookie (pendatang baharu) terbaik musim ini.

Begitupun, beraksi di laman sendiri sambil disaksikan puluhan ribu penyokong tempatan memberinya semangat serta motivasi untuk menghadirkan keputusan terbaik.

“Tekanan pasti ada tetapi saya sebenarnya lebih bersemangat untuk berjuang di tempat sendiri kerana ramai rakyat Malaysia yang akan turun memberi sokongan. Saya tidak sabar untuk berikan satu persembahan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Hafizh percaya rakan sepasukannya sudah bersedia memberikan komitmen 100 peratus dalam membantunya muncul pelumba rookie terbaik.

“Saya tak berani nak janji akan muncul pelumba rookie terbaik tetapi saya yakin dengan diri saya dan pasukan yang kami mampu untuk berikan saingan sengit kepada semua pasukan,” katanya.

Hafizh yang diberi jolokan ‘El Pescao’ kini mengumpul 34 mata untuk menduduki tempat ke-18 selepas mengharungi 17 perlumbaan dan ketinggalan 12 mata di belakang pelumba Honda, Franco Morbidelli bagi merebut gelaran pelumba rookie terbaik musim 2018.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini mengadakan sesi minum petang bersama peminat yang turut melibatkan pelumba lain seperti Ayumi Sasaki, Nikki Tuuli, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin. - UTUSAN ONLINE