Anak muda yang bernaung di bawah pasukan Petronas Raceline Malaysia itu melakar masa sepusi­ngan satu minit, 53.934 saat (s) setelah melengkapkan 19 pusingan keseluruhan.

Bagaimanapun, keputusan itu dilihat Hafizh dari sudut positif dalam usaha­nya mendapatkan pela­rasan terbaik untuk motosikalnya dan memperbaiki prestasi jentera dari semasa ke semasa.

“Kami berjaya mening­katkan prestasi motosikal sewaktu sesi latihan tadi, lebih-lebih lagi di hujung aksi. Saya kian selesa dengan motosikal, tetapi masih ada ruang untuk meningkatkan lagi prestasi jentera,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya, dia akan terus menguji dengan memacu lebih laju jenteranya dalam sesi latihan bebas kedua nanti untuk mendapatkan keputusan yang lebih bagus.

Sementara itu, pengurus pasukan Razmin Masli Abdul Razak berkata, pasukannya telah menyediakan beberapa pilihan untuk menguji persembahan jentera dalam sesi latihan pertama.

“Perubahan kami lakukan berdasarkan pilihan yang ada dan turut mengambil kira maklumat yang diberi Hafizh. Kami amat berharap cuaca cerah ini akan terus kekal ketika sesi latihan seterusnya untuk membolehkan Hafizh dan jurutera mendapatkan prestasi terbaik jentera,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Moto2 Malaysia, Khairul Idham Pawi sekadar menempatkan dirinya di tempat ke-32 (1:56.321s), manakala dalam saingan Moto3, pelumba SIC Racing Team, Adam Norrodin berada di anak tangga ke-24 (2:00.766s) sesi latihan bebas.