Jika benar terjadi, maka ia akan menjadikan Hafizh atau terkenal dengan jolokan Pescao sebagai pelumba Malaysia pertama beraksi di saingan utama Kejuaraan Motosikal Dunia.

Dalam satu temubual oleh motocyclenews.com, ketua pasukan Tech 3 Herve Poncharal mengesahkan nama Hafizh berada dalam senarai pengganti yang berpotensi untuk menggalas tugas pelumba Jerman, Folger.

“Buat masa ini, saya tidak boleh sahkan apa-apa lagi, kerana terdapat beberapa keutamaan yang perlu diberikan kepada rakan strategik kami. Mereka pasti mempunyai pandangan tersendiri,” katanya.

Seandainya berlaku, ia bakal menyaksikan pelumba berusia 24 tahun itu bergandingan dengan juara Moto2 2016, Johann Zarco, yang semakin berkembang maju sejak menyertai Tech 3 tahun lepas.

Hafizh telah menyertai saingan Kejuaraan Motosikal Dunia sejak 2013, dengan pernah menaiki podium dua kali pada 2017 di Misano dan Motegi.

Difahamkan, Folger mengalami sindrom Gilbert, iaitu penyakit keturunan yang memaksanya melupakan kesemua perlumbaan musim ini.

Folger terlepas empat perlumbaan terakhir musim lalu akibat penyakitnya itu dan dijangka pulih sepenuhnya akhir tahun ini.

Bagaimanapun dia disahkan tidak akan beraksi diawal musim tahun ini.