Walaupun menyedari hakikat bahawa sasaran tersebut amat berat untuk digalasnya, tetapi jika dia berusaha keras dan terus mempamerkan aksi konsisten, tiada yang mustahil untuk digapai anak muda ber­usia 24 tahun itu.

“Sebenarnya kelompok lima terbaik memang sukar untuk dicapai, tetapi dengan bantuan serta sokongan krew pasukan yang diketuai jurutera berpengalaman yang pernah menaikkan karier pelumba handalan Jepun, Nakagami, Fausto Bencivenni Pons, saya yakin perkara yang mustahil itu mampu direalisasikan.

“Sungguhpun tidak mampu mencapai sasaran itu kelak, saya akan tetap memastikan kedudukan saya dalam ranking dunia mesti berada dalam kelompok 10 terbaik,” katanya sewaktu berkunjung ke ibu pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur.

Jika berjaya mencapai sasaran kedudukan lima terbaik yang diletakkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, Hafizh sedar impiannya untuk muncul anak Malaysia pertama beraksi dalam perlumbaan kelas utama MotoGP pasti akan menjadi realiti.

Jelasnya, siapa yang tidak mahu berlumba dalam kelas tersebut bersama-sama pelumba handalan dunia seperti Valentino Rossi, mahupun Mark Marquez, dan sebagai pelumba profesional dia harus berani menyahut cabaran besar itu.

“Siapa tahu, tahun ini akan membawa tuah kepada saya. Saya berharap bermula dengan sesi latihan bebas pertama hingga ke perlumbaan sebenar, saya dapat beraksi konsisten. Saya juga memerlukan tuah mengiringi saya. Perlumbaan pembuka tirai di Litar Losail, Qatar pada Mac ini amat penting untuk saya memulakan rentak yang positif,” ujar pelumba yang masih dalam tempoh berbulan madu itu.

Hafizh yang melengkapkan aksinya pada musim lepas di kedudukan ke-10 setelah mengumpul 106 mata dan mencatat dua keputusan podium, amat berharap pencapaian cemerlangnya pada 2016 di Qatar setelah melengkapkan aksi di tempat keempat dapat diulanginya pada musim baharu ini.

Sebagai persediaan bagi mengharungi musim 2018, Hafizh te­lahpun membuat persiapan sejak Disember lalu de­ngan melakukan aktiviti berbasikal dan bermain bola sepak bagi memastikan fizikalnya berada dalam keadaan terbaik.

“Saya sering berbasikal bersama pelumba kebangsaan Anuar Manan dan Hariff Saleh. Keha­diran mereka ba­nyak membantu saya membuat persiapan menjelang musim baharu,” jelas Hafizh yang akan terbang ke Barcelona, Sepanyol pada Rabu depan untuk menghadapi persediaan pramusim.