Kehidupan yang dilalui anak muda berusia 19 tahun itu di bumi Eropah diisi padat dengan sesi latihan yang telah disusun untuknya oleh pasukan tempat dia bernaung iaitu SIC Racing Team.

Sekalipun jadualnya cukup padat dengan latihan dan perlumbaan di merata dunia, Adam mengakui ada kalanya dia berasa sunyi tanpa teman-teman dan ahli keluarga di sisi, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini.

“Kadang-kadang memang ada rasa sunyi, tapi saya selalu berhubung dengan keluarga di Malaysia. Apabila dapat berbual dengan mereka hilanglah sikit rasa rindu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Adam, keluarga banyak memberi nasihat supaya dia sentiasa berpijak di bumi nyata.

“Keluarga ingatkan siapa diri saya,” katanya yang beraya tanpa keluarga buat kali pertama.