Selepas menamatkan enam pusingan musim ini, perlumbaan MotoGP berjaya menampilkan empat pemenang berbeza, dan bagi Dovizioso kemenangan di Litar Mugello berjaya melonjakkannya ke kedudukan kedua keseluruhan di depan rakan senegara, Valentino Rossi yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat bersama pasukan Yamaha.

Seorang lagi pelumba Itali, Danilo Petrucci yang menunggang Ducati menaiki podium tangga ketiga selepas bermula dari petak kesembilan.

“Banyak emosi mengiringi saya sepanjang perlumbaan dan sebelum memulakan saingan, tenaga saya tidak begitu bagus.

“Saya benar-benar mahukan kemenangan ini kerana ia ibarat mimpi menjadi nyata buat setiap pelumba Itali untuk memenangi perlumbaan di depan penyokong sendiri,” kata Dovizioso, yang turut mendapat sokongan penonton, biarpun sebahagian besar daripada mereka bersorak buat Rossi.

Ia juga adalah kemenangan pertama Ducati di Mugello sejak pelumba Australia, Casey Stoner memenanginya pada 2009.

Vinales kini mengatasi Dovizioso dengan kelebihan 105 mata. Dovizioso mengumpul 79 mata, manakala Rossi, yang menghabiskan hujung minggu lalu di hospital akibat kemalangan motosikal berkedudukan ketiga dengan 75 mata. - REUTERS