Pelumba pertama negara dalam kelas MotoGp itu juga mengingatkan ada kalanya tuah seakan tidak menyebelahi pelumba yang bersaing di laman sendiri biarpun sudah lali ber­aksi di litar kegemaran mereka.

Pelumba berusia 24 tahun itu berkata, bukan mudah untuk dia meraih keputusan baik meskipun berada di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila menamatkan latihan bebas pertama hari ini di tempat ke-17 dengan catatan masa dua minit, 1.419 saat, diikuti di anak tangga ke-20 (2:1.894s) dalam sesi berikutnya.

“Bukan hari yang mudah untuk saya bersaing di laman sendiri, kami menjangkakan kami dapat melakukan pe­ningkatan pada sesi latihan bebas pertama, namun saya tidak tahu mengapa ada kalanya (keadaan sukar) terjadi kepada pelumba. Mereka jangkakan mereka ada peningkatan apabila berlumba di trek kegemaran.

“Hari ini adalah hari yang sangat sukar bagi saya kerana motosikal saya tidak ber­upaya mengambil selekoh dengan baik. Kami telah menukar tayar daripada jenis keras kepada medium dan lembut, namun tayar lembut masih tidak membantu saya buat masa ini. Saya fikir saya dan pasukan akan tahu untuk memperbaikinya esok.

“Saya harap esok kami dapat menjangkauinya kerana saya percaya bahawa pasukan dan saya sendiri mampu untuk me­ningkatkan prestasi. Mungkin bukan hari ini, tetapi esok kami dapat meningkatkan sesuatu dan terus berusaha keras,” katanya kepada pemberita selepas selesai sesi ujian bebas kedua.

Dalam masa sama, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu yakin pasukannya memiliki formula untuk meningkatkan prestasi jenteranya dalam sesi latihan bebas ketiga dan keempat esok sebelum mengharungi sesi kelayakan pada Sabtu.

“Pagi tadi bukan satu isu besar apabila saya tertinggal jauh, cuma masalahnya di sini adalah ketika mengambil selekoh. Namun tengah hari tadi kami sudah menukar kedua-dua penye­rap hentak kepada lebih keras sedikit.

“Saya harap esok kami boleh memberi keseimbangan kepada jentera dan percaya kami boleh memperbaiki catatan masa. Jadi saya akan terus bekerja keras,” tambahnya.