Raut wajah lembut dengan sepasang mata yang redup dimiliki wanita yang kini berusia 24 tahun itu berjaya membuat hati pelumba Monster Yamaha Tech3 itu gundah-gulana.

“Kalau dahulu citarasa saya lebih kepada wanita tidak bertudung dan seksi tetapi sejak terpandang gambar Suzana di media sosial telah membuat hati saya terus terpaut.

“Dia bertudung tetapi gayanya yang menarik dan mempesona telah membuat hati saya bagai ditarik-tarik untuk terus mengenalinya dengan lebih dekat.

“Pada awalnya saya hanya like gambar dia di laman sosial tetapi selepas dua minggu saya mula beranikan diri menyapanya dan saya tidak sangka dia membalas mesej saya,” kata Hafizh menceritakan tentang perkenalan dengan Suzana yang menjadi isterinya sejak 14 Disember lalu.

Noor Suzana pula menokok, sewaktu Hafizh mula mengikuti perkembangannya di media sosial, dia sedar tentang perhatian yang diberikan lelaki tersebut kepadanya.

Wanita berasal dari Ampang, Selangor itu memberitahu, mungkin sudah jodoh, saat perkenalan dengan suaminya itu semua dipermudahkan.

“Saya memang berhasrat untuk berkahwin pada usia yang muda, jadi sewaktu kami mula berkawan secara serius selepas berbalas-balas mesej di media sosial, segalanya berjalan lancar,” ujarnya.

Ketika diajukan pertanyaan sama ada dia sedar atau tidak siapa sebenarnya Hafizh, Suzana berkata, dia hanya mengetahui lelaki itu merupakan seorang pelumba motosikal, setelah memeriksa profilnya, tetapi tidak begitu arif tentang kejuaraan motosikal dunia.

“Sewaktu awal perkenalan, Hafizh ada memberi saya tiket percuma menyaksikan Grand Prix Motosikal Malaysia di Sepang.

“Selepas menonton sendiri dia beraksi baharulah saya sedar dia bukanlah calang-calang pelumba,” jelas Suzana yang menjadikan bidang peragaan sebagai kerjayanya.

Menjawab tentang perancangan selepas berkahwin, Hafizh memberitahu, dia ada membawa isterinya terbang ke Barcelona pada 17 Januari lalu bagi mendedahkan wanita tersebut dengan kehidupan di Sepanyol.

“Saya mahu dia menyesuaikan diri dengan kehidupan di Barcelona. Suzana perlu belajar terbang bersendirian supaya mudah dia berulang-alik ke Malaysia sewaktu saya sibuk nanti,” kata Hafizh yang sempat berbulan madu di Phuket, Thailand.

Hafizh yang kini sibuk mempersiapkan dirinya untuk menghadapi musim 2018 akan terbang ke Sepanyol Rabu ini dan bakal melakukan penampilan sulung dalam perlumbaan MotoGP bersama pasukan Perancis, Monster Yamaha Tech3.

Mengenai aktivitinya selain berlumba motosikal, Hafizh tidak dapat lari daripada menggemari sukan menggunakan roda apabila masa lapangnya diisi dengan berbasikal. Malah dia turut berkayuh dengan dua pelumba berbasikal kebangsaan iaitu Anuar Manan dan Mohd. Hariff Salleh jika berada di Malaysia.

Pelumba yang menamatkan aksinya dalam kelas Moto2 di kedudukan ke-10 dunia dengan kutipan 106 mata musim lalu itu turut aktif bermain bola sepak bagi mengekalkan stamina.