Dengan perlumbaan yang masih berbaki 10 pusingan, pelumba Monster Yamaha Tech 3 tersebut bertekad untuk mempamerkan persembahan yang lebih konsisten agar sasarannya itu dapat direalisasikan.

“Litar Brno merupakan trek yang begitu serasi dengan saya, jadi saya akan cuba memberikan yang terbaik sekali lagi. Saya mahu bersaing bagi merebut anugerah Pendatang Baharu Terbaik.

“Sebab itu sasaran utama saya ialah untuk mengumpul mata sebanyak mungkin dalam usaha saya menjarakkan kedudukan dengan pencabar saya ter­utamanya Franco Morbidelli,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Hafizh yang kini menghuni kedudukan ke-16 dan mengumpul 22 mata keseluruhan diekori rapat oleh penunggang Itali, Morbidelli yang hanya keciciran tiga mata di belakang pelumba ber­asal dari Ampang, Selangor itu.

Menurut Hafizh, dia kini bersedia beraksi kembali selepas rehat musim panas, baik dari segi mental mahupun fizikal.

“Saya hanya mahu fokus kepada cabaran Pendatang Baharu bermula di Republik Czech, dan selepas itu, sembilan lagi baki pu­singan. Saya berharap cuaca di Brno berada dalam keadaan baik dan tidak sesukar tahun lalu,” ujarnya.