Peluang penunggang Monster Yamaha Tech 3 itu untuk memintas pelumba Itali, Franco Morbidelli tampak mustahil kerana ditinggalkan dengan 10 mata.

Hafizh ketika ini menduduki tangga ke-16 dengan 40 mata ke­seluruhan manakala Morbidelli mengutip 50 mata untuk menghuni tangga ke-14 kedudukan MotoGP dunia.

Pelumba berusia 24 tahun itu mengakui, peluangnya hampir tertutup selepas menduduki tangga ke-10 dalam Grand Prix Malaysia di Sepang minggu lalu.

Keputusan itu hanya membolehkannya mengutip tambahan enam mata.

Morbidelli yang mewakili pasukan EG 0,0 Marc VDS mengutip empat mata selepas berada di tangga ke-12.

Hafizh hanya boleh pulang bersama anugerah Rookie jika berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik di Valencia, dan pada masa sama berharap Morbidelli gagal mengutip mata.

“Saya tidak sabar hendak beraksi di Valencia dan fokus saya sekarang adalah me­ningkatkan prestasi serta mempamer perlumbaan hebat sebelum mengakhiri aksi bersama Yamaha. Saya hanya mahu ber­ada di depan pendatang baharu yang lain.

“Saya bersedia memberikan yang terbaik hujung minggu ini,” kata Hafizh dalam laman web rasmi pasukan, www.motogp.teamtech3.fr.

Selain Hafizh dan Morbidelli, dua lagi pelumba yang me­lakukan penampilan sulung dalam MotoGP musim ini, ialah Nakagami Takaaki dari Jepun dan pelumba Belgium, Simeon Xavier.

Kata Hafizh, dia masih menaruh harapan untuk mencatat keputusan terbaik di Valencia biarpun sedar peluang mencabar anugerah Rookie tampak sukar.

Pencapaian terbaik ‘El Pescao’ dalam saingan MotoGP 2018 adalah menduduki tangga kesembilan di Argentina, April lalu.