Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu gagal menamatkan perlumbaan terakhir selepas tuas gear jenteranya patah akibat kemalangan yang dialami pada selekoh pertama perlumbaan.

Lebih malang, dua lagi rakan sepasukannya, Md Izzat Zaidi Salehan dan Azhar Abd Jalil turut gagal menamatkan perlumbaan, sekali gus tidak menyumbang sebarang mata individu serta berpasukan.

Selepas lima pusingan, Adib kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan 31 mata, jauh ketinggalan di belakang pendahulu, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang mengumpul 115 mata.

“Sebenarnya selepas terjatuh, saya masih dapat meneruskan perlumbaan namun selepas satu pusingan, barulah gear jentera saya patah dan gagal untuk meneruskan perlumbaan.

“Memang saya kecewa kerana gagal memungut sebarang mata dan semakin ketinggalan dalam senarai keseluruhan, lebih malang Izzat dan Azhar juga mengalami nasib serupa di Teluk Intan.

“Pasukan juga rugi kerana gagal menambah mata, namun kami tekad untuk bangkit menebus kehilangan mata tersebut di Perlis minggu ini.

“Berdasarkan rekod kali terakhir kami berlumba di Kangar pada tahun 2016, saya berjaya menaiki podium dan mudah-mudahan dapat mengulanginya pencapaian tersebut minggu ini,” kata Adib. - UTUSAN ONLINE