Aksi kelayakan yang berlangsung di litar Sachsenring, Jerman itu menyaksikan pelumba kelahiran Johor Bahru itu menamatkan saingan dalam tempoh 1 jam 27 minit 515 saat, dengan purata kelajuan 212 kilometer per jam.

Penunggang SIC Racing Team berusia 19 tahun itu kini menduduki tangga ke-21 secara keseluruhan setelah memungut enam mata.

Beralih dalam kelas utama MotoGP, juara edisi lalu Marc Marquez dari Repsol Honda Team berada di landasan yang tepat untuk melebarkan kemenangan kelapannya dalam GP Jerman apabila mencatatkan masa terpantas dalam kelayakan hari ini.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu, yang meraih tujuh kemenangan menerusi kesemua tiga kelas (125cc, Moto2, MotoGP) di litar Sachsenring, menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan 1’27.302s, sekali gus menempah petak pertama untuk perlumbaan esok.

Pelumba OCTO Pramac Racing, Danilo Petrucci menduduki tempat kedua selepas hanya ketinggalan 0.160s di belakang Marquez, diikuti rakan sepasukan juara edisi lalu itu, Dani Pedrosa (+0.647). - UTUSAN ONLINE