Pelumba SIC Racing Team itu ternyata sedia memberikan komitmen sepenuhnya menjelang perlumbaan di Litar TT Assen, apabila melakukan persiapan rapi dengan mengadakan sesi latihan di Aragon, Sepanyol selama dua hari.

“Minggu lepas, kami telah menjalani sesi latihan selama dua hari di Aragon yang sangat memberi manfaat kepada saya. Peluang tersebut telah kami gunakan sebaik mungkin untuk mencuba sesuatu yang baharu dan saya berasa perubahan tersebut berupaya membantu kami di Assen nanti,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai aksinya pada tahun lalu di Belanda, Adam berkata, dia terpaksa mengharungi perlumbaan yang agak sukar ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Namun, pada kali ini, perasaan saya untuk ke sana lebih baik dan positif. Saya kini berasa lebih yakin. Trek di Assen pula sangat bagus untuk berlumba. Reka bentuk litar menggabungkan laluan lurus yang laju dan juga selekoh yang sempit,” ujarnya.

Adam turut mensasarkan untuk mengutip mata pada perlumbaan, hujung minggu ini setelah dia gagal berbuat demikian dalam saingan sebelum ini.

“Perkara pertama yang perlu kami lakukan ialah memperbaiki keputusan sewaktu sesi kelayakan. Hari Sabtu merupakan fokus utama saya di Assen. Saya sedar jika saya mampu memacu motosikal dengan laju, maka kami berpeluang untuk mengharungi perlumbaan yang lebih baik.

“Namun, untuk memastikan saya dapat beraksi dengan lebih kompetitif, saya perlu menempah grid yang lebih baik dalam perlumbaan sebenar nanti,” jelas Adam yang hanya berjaya mengutip enam mata dalam perlumbaan pembukaan musim di Qatar, Mac lalu.

Pembabitan Adam dalam perlumbaan di Belanda, turut menyaksikan anak muda berusia 19 tahun itu buat kali pertama terpaksa beraya tanpa keluarga di sisi.