Bertindak selaku mekanik, Habibtullah yang lebih mesra dengan panggilan Habib telah bersama Hafizh selama lebih 10 tahun sejak pelumba itu mula bertatih dalam sukan pemotoran tempatan iaitu dalam perlumbaan CubPrix.

Namun begitu, setiap pertemuan pasti ada perpisahan, begitulah juga de­ngan apa yang terjadi antara Hafizh dan Habib, apabila pelumba Malaysia itu mendapat peluang beraksi dalam kelas utama MotoGP untuk kejohanan motosikal dunia bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3.

Habib kini terikat bersama SIC Racing Team yang akan beraksi dalam kelas Moto2 bersama pelumba Zulfahmi Khairuddin.

Walaupun tidak lagi ber­ada di bawah pasukan yang sama, Habib tetap memiliki kepercayaan tinggi terhadap Hafizh yang diyakininya mampu mengorak langkah lebih jauh walaupun dia tidak lagi berada di sisi pelumba berusia 24 tahun itu.

“Sedih memanglah sedih kerana saya tidak lagi bersama Hafizh. Tetapi walaupun tidak lagi bekerjasama de­ngan dia, saya masih boleh bertemu dengan Hafizh kerana kami bekerja dalam kejohanan yang sama.

“Saya harap dia boleh berdikari. Kalau 10 tahun dulu mungkin tidak, tapi saya percayakan dia. Hafizh sudah besar, sekarang dia perlu pandai berdikari seorang diri,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Hafizh yang muncul selaku pelumba pertama Malaysia dan juga Asia Tenggara beraksi dalam MotoGP, telah disahkan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menguruskan karier anak muda itu menyertai sebuah pasukan berpangkalan di Perancis bagi musim 2018 kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan Hafizh dalam MotoGP, Habib berkata, dia sama sekali tidak berasa bimbang kerana yakin bekas pelumba Moto2 itu mampu menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya.

“Hafizh mudah mesra, pasti tak kekok bagi dia hendak menyesuaikan diri dengan pasukan baharu. Mengenali Hafizh, dia bukan orang yang mudah
menye­rah kalah. Semangat juang dia tinggi walau pun bukan di atas motosikal sekalipun. Dia cepat mesra dengan semua orang, walaupun baharu kenal,” ujarnya.