Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan SIC, bergelar tuan rumah kepada kejohanan berprestij seperti Kejuaraan Dunia Formula 1 dan Grand Prix Motosikal Malaysia telah meletakkan SIC dipeta dunia dengan kehadiran pelumba-pelumba tersohor.

Sejak 1991, Grand Prix Motosikal Dunia atau kini lebih dikenali sebagai MotoGP, telah diadakan di Litar Batu Tiga Shah Alam dan Litar Johor di Pasir Gudang.

Selepas pelancaran SIC, kejuaraan dunia itu mendapat `rumah baharu’ yang menyaksikan populariti sukan pemotoran di Malaysia yang semakin meningkat saban tahun, lebih-lebih lagi apabila Program Wild Card diperkenalkan oleh SIC pada 2009.

Penganjuran sulung MotoGP di SIC pada 1999, bermula pada 17 April apabila sesi latihan bebas dilaksanakan untuk perlumbaan tiga kelas iaitu 125cc, 250cc dan kelas utama pada ketika itu 500cc yang merupakan kategori paling popular yang mendapat tumpuan peminat tempatan serta antarabangsa.

Pada ketika itu, pelumba handalan Australia, Mick Doohan dari Repsol Honda Team berada dipuncak karier. Namun, sewaktu perlumbaan di Sepang, legenda Australia itu gagal mempamerkan kehebatannya.

Sehingga kini, SIC semakin bertapak kukuh dan apa yang lebih membanggakan apabila litar tersebut juga memiliki pasukan sendiri dalam tiga perlumbaan iaitu MotoGP, Moto2 dan Moto3, selain kehadiran beberapa pelumba tempatan yang berbakat seperti Zulfahmi Khairuddin, Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, kejayaan memiliki pasukan MotoGP sepenuhnya adalah luar biasa dan beliau sangat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut.

"Tetapi saya secara jujur, tidak pula melihat ini sebagai kemuncak untuk pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Lebih banyak peristiwa yang lebih hebat akan berlaku pada masa akan datang terutama dalam sukan permotoran.

“Bagi MotoGP masa depannya bersinar terang untuk Malaysia," kata Razlan yang juga prinsipal bagi pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team dalam kenyataan akhbar itu.

Razlan memberitahu, detik-detik bersejarah dilakar Malaysia dalam MotoGP ialah apabila Khairul Idham mengungguli Grand Prix Argentina dan Jerman dalam Moto3, manakala, Zulfahmi Khairuddin menduduki tangga kedua di Sepang dan hampir menang pada 2012 serta Hafizh Syahrin menaiki podium dalam Moto2 dan menjadi rakyat Malaysia pertama beraksi dalam kelas MotoGP.

Beliau juga mengakui, Zulfahmi adalah pencetus perubahan dalam sejarah MotoGP Malaysia apabila SIC mengambil langkah lebih berani untuk meletakkan pelumba muda sepertinya pada musim penuh dalam kelas 125cc menggunakan jentera Aprilia di bawah Air Asia-Litar Antarabangsa Sepang.

"Zulfahmi ketika itu bukan pelumba handalan Malaysia, tetapi dia mencetuskan minat terbesar dalam permotoran apabila semakin ramai rakyat Malaysia mengikuti jejaknya pada kejohanan dunia dan Malaysia kini berbangga mempunyai pasukan MotoGP sendiri dan kejayaan Hafizh Syahrin beraksi dalami kelas MotoGP, benar-benar mengagumkan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE