Pelumba Sepa­nyol itu bersaing sengit dengan penunggang Ducati, Andrea Dovizioso dari Itali pada beberapa pusingan terakhir sebelum memacu jentera YZR-M1 melakar kemenangan.

Vinales, 22, turun sebagai pilihan utama MotoGP di Litar Antarabangsa Losail, dan dia berjaya memenuhi reputasi itu dengan mencatat masa 0.461 saat lebih pantas daripada Dovizioso.

Rakan sepasukan Vinales yang juga juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi turut menaiki podium selepas menamatkan saingan di tangga ketiga dalam perlumbaan yang bermula lewat akibat hujan lebat.

“Saya amat berpuas hati dan pasukan melakukan tugasan yang hebat. Saya menunggang motosikal ini sepanjang masa bagi mendapatkan penyelarasan terbaik.

“Sejujurnya, biarpun bermula bagus tetapi perlumbaan sa­ngat sukar. Saya berada di tempat kedua pada selekoh pertama dan kemudian muncul (Johann) Zarco secara tiba-tiba, jadi saya terpaksa mengelak atau kami akan terlibat dalam kemalangan.

“Selepas itu, Marc (Marquez) serta Dovi (Dovizioso) pula memintas dan keadaan trek agak licin.

“Saya tidak boleh beraksi pada kelajuan biasa, terutama di selekoh. Apa yang boleh saya lakukan ha­nya memecut di laluan lurus, jadi keadaan sangat sukar di beberapa pusingan awal.

“Saya cuba fokus sepanjang perlumbaan dan memintas pelumba lain satu demi satu de­ngan penuh keyakinan, sebelum ­akhirnya sampai kepada Marc.

“Ketika itu, saya beritahu diri sendiri, sekarang masa terbaik untuk memecut dan kemudian kejar Dovi, kita tengok apa akan berlaku,” kata Vinales.

Kata Vinales lagi, dia tidak terkejut Rossi berjaya menaiki podium kerana sejak awal lagi menjangkakan pelumba veteran Itali itu mampu menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik. – AGENSI