Misi pelumba berusia 17 tahun itu untuk merangkul kejuaraan kelas CP150 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas akan bermula pada hujung minggu ini apabila perlumbaan berlangsung di Temerloh, Pahang.

Dalam aksi saingan CEV di Sepanyol pula, Kasma akan membawa cabaran pasukan Petronas Sprinta Racing dalam kelas Moto3.

“Musim 2016 adalah tahun terbaik saya. Selain memenangi gelaran di dalam negara, saya juga mendapat pendedahan berguna dalam kelas Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia.

“Aksi cemerlang pada saingan Asia membolehkan saya menerima peluang menjalani latihan di Akademi VR46 sebanyak dua kali.

“Saya jangkakan tahun ini adalah musim yang agak mencabar. Dalam kejuaraan Cub Prix, buat kali pertama kami akan beraksi dalam kategori CP150 manakala ini juga aksi pertama saya menggunakan jentera Moto3. Saya masih dalam proses pembelajaran namun akan cuba sedaya upaya untuk cepat menyesuaikan diri,” kata pelumba kelahiran Johor itu.

Selain Kasma, antara bintang Cub Prix yang pernah beraksi dalam dua kejuaraan serentak iaitu di Sepanyol dan di dalam negara ialan Khairul Idham Pawi pada tahun 2015. - UTUSAN ONLINE