Tempat ke-10 adalah keputusan terbaik pernah dilakar pelumba Moto3 SIC Racing Team itu sejak membuat penampilan sulung tahun lalu, dan dia menamatkan saingan dengan masa 38 minit 35.268 saat, sekali gus mengutip enam mata di Litar Antarabangsa Losail.

Adam, 19, diberi tentangan sengit oleh rakan sepasukan, Ayumu Sasaki, 17, yang menamatkan saingan di kedudukan ke-11 menerusi catatan 38:39.585s.

Penunggang Leopard Racing, Joan Mir dari Sepanyol menjuarai perlumbaan kelas Moto3 dengan catatan 38:27.364s, sementara tempat kedua milik John McPhee dari Britain (38:27.499s) dan pelumba Del Conca Gresini Moto3, Jorge Martin di kedudukan ketiga.

“Hari ini adalah hari yang cukup menakjubkan dan saya sangat gembira kerana kerja keras kami sepanjang musim sejuk akhirnya diterjemahkan dalam perlumbaan ini.

“Kami berusaha gigih sepanjang perlumbaan dan ia berbaloi apabila berjaya mencapai sasaran ditetapkan,” kata Adam dalam satu kenyataan, semalam.

Pelumba kelahiran Parit Raja, Johor itu berharap prestasi di Losail dapat dikekalkan di Argentina pada 9 April ini, malah menyasarkan keputusan lebih bagus.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa dua pelumba negara dalam saingan Moto2.

Hafizh dari pasukan Petronas Raceline Malaysia gagal melengkapkan saingan manakala Khairul Idham Pawi yang mewakili Idemitsu Honda Team Asia berada di kedudukan ke-28 pada penampilan sulung Moto2.

Hafizh terjatuh ketika saingan memasuki pusingan pertama ekoran kecuaian pelumba Itali, Mattia Pasini.