Prinsipal pasukan Mercedes itu, yang bertanggungjawab memastikan kejayaan Lewis Hamilton merangkul gelaran dunia kelima dan Silver Arrows menggondol pengeluar terbaik buat kali kelima berturut-turut berkata, kejayaan yang diraikan pasukan, minggu lalu, mengingatkannya untuk terus merendah diri, tetapi bertekad meneruskan kecemerlangan.

“Majlis meraikan kejayaan kami di Brixworth dan Brackley merupakan satu pengalaman untuk saya terus merendah diri. Merangkul gelaran berganda buat kali kelima, pengalaman yang tidak ramai orang dapat rasai di dalam sukan ini, ia sesuatu yang menakjubkan. Kami amat menghargai detik itu.

“Dalam masa sama, semua orang bersemangat untuk meningkatkan prestasi dan menjadi lebih mantap pada 2019.

“Pada ketika ini, kami masih mempunyai satu lagi perlumbaan untuk diselesaikan bagi tahun 2018 dan berhasrat mempamerkan satu persembahan hebat buat peminat yang menyokong kami musim ini tidak kira mereka yang berada di trek ataupun menyaksikan saingan di depan televisyen mahupun di media sosial.

“Tekanan sudahpun hilang, jadi perlumbaan ini bakal menyaksikan kami beraksi sehabis baik yang mungkin tanpa rasa bimbang,” kata warga Austria itu.

GP Abu Dhabi bakal menyaksikan juara dunia lima kali, Hamilton dan rakan sepasukan, Valtteri Bottas bersaing bagi merebut kejuaraan menentang pasukan Ferrari serta Red Bull di trek di mana Mercedes belum pernah tewas sejak era turbo-hybrid moden diperkenalkan.

Namun, Litar Yas Marina jarang sekali mempamerkan persembahan menerujakan, walaupun berlumba di bawah lampu limpah kelihatan cukup mempersonakan. – AFP

Tanpa mengira apa yang bakal berlaku dalam perlumbaan, saingan hujung minggu ini juga bakal menjadi aksi paling diingati buat juara dunia dua kali, Fernando Alonso yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada F1, manakala Kimi Raikkonen tampil buat kali terakhir bersama Ferrari sebelum menyertai Sauber. - AFP