Tambahnya, sesi kelayakan yang bakal berlangsung malam ini (awal pagi waktu Malaysia) bakal menjadi penanda aras sejauh mana dia bersama rakan sepasukannya iaitu Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri bakal bersaing dalam perlumbaan sebenar nanti.

"Walaupun penampilan pertama di perlumbaan ini tapi saya mahu beri yang terbaik dan cuba menamatkan perlumbaan di kelompok terbaik. Dari segi persediaan pasukan termasuk diri sendiri dari segi fizikal dan mental berada dalam keadaan baik.

"Sesi kelayakan malam ini mungkin boleh menilai keupayaan pasukan secara serba sedikit. Apa pun perlumbaan sebenar yang menjadi keutamaan dan berharap mampu beri yang terbaik dan tidak semuanya bakal berjalan dengan lancar nanti," katanya.

Trio negara telah mencipta sejarah apabila muncul sebagai tiga pemandu Malaysia yang bersama dalam satu pasukan dengan berlumba di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota dalam kelas LMP2.

Mereka juga bermula baik dalam perlumbaan pembukaan pusingan pertama World Endurace Championship (WEC) di Spa Francorchamps, bulan lalu apabila meraih kedudukan ketiga sekali gus dilihat mempunyai peluang cerah untuk melakukan kejutan di Le Mans pada 16 dan 17 Jun ini. - UTUSAN ONLINE